Terdapat salah faham bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA menentang Rang Undang-Undang Memperkasakan Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355. Polemik isu ini menjadi semakin parah apabila DAP mengambil kesempatan mengapi-apikan parti MCA untuk keluar daripada komponen BN sekiranya RUU 355 ini diluluskan.
Semalam, Presiden MCA DS Liow Tiong Lai menegaskan bahawa partinya tidak menentang RUU 355 persendirian yang diusulkan PAS bagi memperkasa Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah. Menurut beliau, apa yang MCA mahukan adalah RUU 355 dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
RUU 355 bukanlah satu undang-undang baru. Ianya hanyalah merupakan pindaan kepada undang-undang Mahkamah Syariah yang telah wujud sejak 1965. Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 dan waktu itu, ia dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Akta 355 adalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa jenayah kepada mahkamah yang ditubuhkan bawah mana-mana undang-undang negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Hukuman yang tersenarai dalam akta ini ialah denda RM1,000 dan penjara 6 bulan.
Pindaan yang pertama dilaksanakan pada tahun 1984 [yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984], untuk meluaskan lagi kuasa menghukum Mahkamah Syariah kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.
Selepas itu, akta ini dipinda lagi pada tahun 1989 untuk diluaskan ke Sabah dan Sarawak [dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan dan Perluasan) 1989]. Pindaan terakhir berlaku pada tahun 1997, tetapi pada tafsiran sahaja, dan ia digelar Akta Tafsiran (Pindaan) 1997. Kesemua pindaan bermula tahun 1984, 1989 dan 1997 diusulkan oleh pihak kerajaan.
MCA sebagai parti yang berteraskan menjaga kebajikan Masyarakat Cina di dalam komponen BN pastinya meneliti RUU 355 ini dengan rapinya. Ianya mungkin tidak menjadi isu sekiranya pindaan ini dilakukan oleh Kerajaan seperti pindaan-pindaan yang lepas. Apabila RUU 355 ini diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang daripada parti PAS, tidak ada salahnya MCA membuat semakan rapi sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Untuk rekod, RUU 355 (Pindaan 2016) ini pastinya mengikut perlembagaan Malaysia dan ianya tidak melibatkan mana-mana penganut Agama lain di Malaysia. Ianya jelas diterangkan di muka surat hadapan usul pindaan berkenaan. RUU 355 ini hnaya bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.