December 10, 2016

0 Tun Dr Mahathir "Mudah Lupa" Jasa MCA, Ujar Ong Ka Chuan


MCA melalui Setiausaha Agungnya, DS Ong Ka Chuan melahirkan kekecewaan berhubung tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus menyerang parti itu. DS Ong berkata sebelum ini MCA sentiasa menyokong Mantan Perdana Menteri itu ketika zaman susah dan senangnya.

DS Ong berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir di catatan blognya yang bertajuk "Associating With Thieves", yang menyifatkan MCA sebagai sebuah parti perkauman manakala "mengagungkan DAP" sebagai parti yang menghormati Perlembagaan Persekutuan.

DS Ong berkata Dr Mahathir lupa bahawa MCA telah menyumbang ke arah penggubalan Perlembagaan Persekutuan bersama UMNO. MCA mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mereka setia dan menyokongnya semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Tahun 1998 menjadi saksi, bagaimana Tun Dr Mahathir terus mendapat sokongan MCA sewaktu Anwar Ibrahim memilih untuk menjemput campurtangan IMF dalam menyelesaikan krisis matawang negara. MCA bersama Tun Dr Mahathir menentang cadangan itu demi mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Tatkala era reformasi pula, kesetiaan MCA kepada Tun Dr Mahathir tidak pernah berbelah bahagi. Pada kemuncak gerakan reformasi apabila Rakyat turun ke jalanan demi Anwar Ibrahim, MCA tetap bersama Dr Mahathir.

DS Ong berkata MCA teguh berdiri di belakang kepimpinan Barisan Nasional (BN), termasuk ketika ianya dikemudikan oleh Tun Dr Mahathir. Antara peranan penting yang dimainkan oleh MCA adalah apabila Mahkamah Agung mengharamkan UMNO pada 1988 dan penubuhan parti baharu, UMNO baru.

Ketika itu, presiden MCA selaku pengerusi BN, dan secara tidak langsung Perdana Menteri sehari, sebelum UMNO Baru diterima masuk ke BN supaya Tun Dr Mahathir boleh kembali menjadi Perdana Menteri.

Dalam sejarah, MCA tidak pernah mengabaikan Perikatan dan BN. Secara dalaman, ada masanya parti mungkin berdepan masalah yang diselesaikan dengan pantas, tetapi hubungan MCA dengan komponen BN lain kekal utuh.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates