December 11, 2016

0 Timbalan Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Minta Lim Guan Eng Bercuti Sementara


Timbalan Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Ang Chor Keong, dalam satu Sidang Media hari ini berkata Ketua Menteri Pulau Pinang, Joseph Lim Guan Eng sekali lagi disaran bercuti sementara setelah Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh perbicaraan kes rasuah beliau dan ahli perniagaan, Phang Li Koon bermula Mac tahun depan. 

Ang Chor Keong, berkata Lim perlu berbuat demikian bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terganggu dan demi kepentingan rakyat Pulau Pinang. Tambah beliau, sebelum ini mungkin Lim tidak perlu ambil cuti, tapi kini mahkamah sudah tetapkan tarikh perbicaraan, jadi demi kehendak dan kepentingan rakyat, maka Lim perlu bercuti sementara. Ini memandangkan tugas Ketua Menteri amat berat, dan ianya melibatkan pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat termasuk kemasukan pelaburan asing.

Pada 6 Disember lalu, mahkamah menetapkan 34 hari bermula 27 Mac 2017 bagi perbicaraan kes rasuah Lim dan Phang berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran. Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata tarikh perbicaraan yang diberikan mahkamah juga tidak boleh dipinda memandangkan ia dipersetujui pasukan pendakwaan dan pembelaan. Tarikh perbicaraan itu ialah pada 27 hingga 31 Mac, 10 hingga 14 April, 24 hingga 28 April, 15 hingga 19 Mei, 29 Mei hingga 2 Jun, 13 hingga 16 Jun dan 17 hingga 21 Julai tahun depan.

Lim Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan rasuah. Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd. 

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8 juta. Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Lim mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Lim Guan Eng didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates