November 2, 2016

0 Laporan Lengkap Kejadian Tren Kargo Tergelincir Di Batu Gajah Selepas 14 Hari


Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata laporan lengkap insiden tren kargo tergelincir di KM200.332 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Keretapi Batu Gajah, Perak Jumaat lepas akan diketahui dalam tempoh 14 hari.

Beliau menjawab soalan V Sivakumar (DAP-Batu Gajah) yang bertanya mengenai punca dan tindakan diambil pihak bertanggungjawab susulan kejadian yang menjejaskan kira-kira 12,000 penumpang Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS).

Beliau berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyiasat punca kejadian sama ada kerana kecuaian manusia atau kelemahan teknikal. Menurut Datuk Ab Aziz, kejadian kereta api tergelincir ini jarang berlaku. Dalam kejadian di Batu Gajah, tren kargo telah mengikut Prosedur Operasi Standard yang biasa ketika hendak masuk ke tempat penyelenggaraan.

Pada masa sama, KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan landasan dan mengalih gerabak tergelincir yang menghalang laluan kedua-dua arah utara-selatan. Datuk Ab Aziz berkata KTMB telah mengambil langkah untuk mempertingkatkan lagi kerja penyelenggaraan dan pemeriksaan infrastruktur, sistem dan stok operasi kereta api bagi memastikan keselamatan tren pada tahap terbaik, sekali gus mengelak kejadian berulang pada masa depan.

Pada kejadian 3.15 pagi Jumaat lalu, tren kargo yang dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di Perak untuk mengambil muatan simen, tergelincir di Km200.332 antara Kota Bharu-Lahat di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah mengeluarkan Kenyataan Media beberapa hari lepas mengarahkan pihak KTMB supaya mempercepatkan kerja baik pulih kerosakkan landasan kereta api. KTMB telah diarahkan untuk berusaha sedaya upaya untuk mengalihkan gerabak kereta api yang tergelincir dan mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik dengan kadar segera bagi membolehkan perkhidmatan ETS beroperasi seperti biasa. 

SPAD juga telah mengarahkan KTMB untuk mengeluarkan laporan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Kenyataan penuh media SPAD adalah seperti berikut:

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates