November 21, 2016

0 Komitmen Kerajaan Dalam Transformasi Pengangkutan Awam


Sistem pengangkutan awam yang efisien adalah perintis kepada pertumbuhan sosio ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, di bawah Program Transformasi Negara (NTP), Perdana Menteri, DS Mohd Najib Tun Razak telah menggariskan Mempertingkatkan Pengangkutan Awam di Bandar sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama.

Sejajar dengan itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan bagi mengemudi Rancangan Induk Pengangkutan Awam Negara, dengan tujuan memastikan pengangkutan awam darat negara sentiasa berkembang dan bertambah maju dari semasa ke semasa, selain menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

Laporan Perjalanan 5 tahun Transformasi Pengangkutan Awam SPAD yang telah diancarkan oleh Perdana Menteri di Simposium Pengangkutan Awam Darat 2016 bulan lalu mengandungi segala progres dan inisiatif yang telah dilakukan sejak SPAD ditubuhkan, mentransformasi pengangkutan awam negara ke arah yang lebih baik.

Antara kemajuan pesat transformasi pengangkutan awam dapat dilihat daripada beberapa inisiatif Kerajaan seperti MRT sedang rancak dibina, malah fasa pertama laluan Sungai Buloh-Kajang dijangka beroperasi bermula Disember tahun ini dan seterusnya pada tahun hadapan secara berperingkat. 

Selain itu, laluan LRT dengan Projek Sambungan Laluan (LPE) dengan 15 stesen yang merentasi kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti Subang Jaya, Glenmarie, Kinrara dan Puchong, manakala projek Transit Aliran Ringan 3 atau LRT3 pula dijangka akan berupaya menampung 74,000 pengguna sehari dan menghubungkan koridor Barat Lembah Kelang seperti Bandar Utama, Shah Alam dan Klang.

Kerajaan juga telah menambah baik dan menyusun semula laluan bas berhenti-henti, bagi memperluas liputan laluan dan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ini. Semenjak pelaksanaan inisiatif ini, kadar purata penumpang harian meningkat daripada 256,000 pada November 2015 kepada 320,000 pada Disember 2015.

Tambahan kepada itu, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur – Singapura yang kini dalam perancangan juga akan meningkatkan hubungan baik kedua-dua buah negara dan memberi manfaat secara langsung seperti hubungan perniagaan selain meningkatkan ekonomi penduduk yang tingal berdekatan dengan laluannya seperti di Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Untuk menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam, kemudahan Park & Ride dengan lebih 10,000 tempat letak kereta telah disediakan di stesen-stesen seperti Terminal Bersepadu Selatan, LRT Gombak, KTM Shah Alam, ERL Salak Tinggi dan banyak lagi.

Pada tahun 2012 pula, SPAD juga telah melancarkan perkhidmatan bas percuma GoKL bagi memudahkan perjalanan serta memberi alternatif pengangkutan yang selamat dan selesa buat warga Kuala Lumpur.

Komitmen Malaysia dalam menyediakan sistem pengangkutan yang mampan juga telah dizahirkan dalam pembentangan Bajet 2017 yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Seperti dimaklumi, antara projek Pengangkutan Awam Darat yang telah dan akan disiapkan oleh kerajaan termasuk membantu pemain industri demi kesejahteraan rakyat adalah seperti berikut:

1. Projek sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang. telah pun beroperasi pada bulan Jun yang lalu.

2. Perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang akan beroperasi pada 16 Disember 2016. Ini memberi manfaat kepada 1.2 juta pengguna di Lembah Klang.

3. Menambah baik pengangkutan awam di luar bandar dengan pelaksanaan projek rel baharu East Coast Rail Line, menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur sepanjang 600 kilometer yang melalui Port Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat secara berfasa dengan anggaran kos 55 bilion ringgit. Ini sekali gus akan meningkatkan dinamik ekonomi pantai timur seiring dgn pembangunan arus perdana.

4. Penyediaan geran 5 ribu ringgit untuk membeli kenderaan baharu dan menawarkan permit teksi individu.

5. Skim PERKESO kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga 3 ribu ringgit sebulan akan diperkenalkan dengan geran pelancaran 60 juta ringgit.

6. Di bawah Skim ini, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar 157 ringgit hingga 443 ringgit setahun, yakni, hanya 13 ringgit 8 sen sebulan. Sekiranya berlaku kemalangan sewaktu bekerja, mereka layak membuat tuntutan daripada PERKESO.

7. Pemandu teksi yang hilang upaya kekal akan menerima bayaran pukal berjumlah 43 hingga 121 ribu ringgit dan bayaran bulanan antara 1,281 hingga 2,624 ringgit sepanjang hayat. Sekiranya pemandu tersebut meninggal dunia, warisnya akan mendapat Faedah Orang Tanggungan pada kadar 945 hingga 2,655 ringgit sebulan.

8. Kerajaan menggalakkan penyertaan mereka sebagai pemandu ride-sharing seperti pemandu UBER, terutama bagi pemilik kenderaan sendiri.

9. Bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan BR1M dan rebat sebanyak 4 ribu ringgit bagi pembelian Proton Iriz.

Saksikanlah video di bawah untuk mengetahui perjalanan transformasi pengangkutan awam darat sejak tahun 2010.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates