October 12, 2016

0 SPAD Komited Selesai Kes Ulat Tiket Dalam Tempoh 24 Jam Dan Tidak Gentar Gangguan Tonto Ketika Menjalankan Tugas


Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata SPAD komited untuk menyelesaikan dan mengambil tindakan segera bagi menangani kes melibatkan ulat tiket dalam tempoh 24 jam. Beliau berkata pihaknya tidak akan menangguhkan, sebaliknya akan segera mengesan serta menahan individu terbabit bagi mengambil tindakan lanjut.

SPAD katanya tidak akan bertangguh dalam melibatkan kes sensitif seperti ini dan jika ditangkap pada waktu malam, siasatan akan terus dilakukan dan keesokannya terus dikenakan tindakan termasuk dibawa ke mahkamah. Kes melibatkan ulat tiket ini dipandang serius dan SPAD tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat.

Menurut beliau, dari tahun 2011 hingga Ogos tahun ini seramai 320 ulat tiket telah ditahan dalam tangkapan yang dilakukan di sekitar terminal bas serta lapangan terbang seluruh negara. Daripada jumlah itu seramai 220 orang telah dituduh di mahkamah serta dikenakan kompaun manakala pada tahun ini sahaja sebanyak 11 kes ulat tiket telah dikesan.

Beliau berkata pihaknya turut berhasrat untuk mengeluarkan kad pemandu kepada pemandu lori dan bas seperti yang dilakukan kepada pengusaha teksi. Katanya langkah yang dilaksanakan itu bagi memudahkan mengesan pemandu yang melakukan kesalahan dan kad tersebut perlu dipamerkan dalam kenderaan.

Dalam pada itu, Dato Che Hasni berkata Bahagian Penguatkuasa SPAD tidak bimbang dengan aktiviti-aktiviti yang dipanggil tonto atau samseng atau pemberi maklumat diupah oleh pihak tertentu dan akan meneruskan operasi untuk menahan lori yang lebih muatan, mengangkut bahan-bahan dengan cara yang tidak selamat atau penyeludupan barangan haram. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian pegawai Jabatan Kastam Kelantan Anisah Ali, 54, yang telah dibunuh oleh tonto apabila kereta peronda mereka dirempuh oleh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh 'tonto'.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates