October 9, 2016

0 Presiden MCA Sifatkan Pembangkang Omong Kosong Dalam Isu Satu Lawan Satu

Presiden MCA, DS Liow Tiong Lai menyifatkan hasrat pembangkang untuk meletakkan calon menentang Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang hanya‎ omong kosong. Ini kerana menurut DS Liow, parti-parti dalam pakatan pembangkang bercanggah pendapat dan kepentingan sesama sendiri, mereka tidak akan dapat mencapai kata sepakat.

DS Liow berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen MCA Johor di Yong Peng. Lebih 1,000 anggota MCA menghadiri Konvensyen MCA itu yang juga dihadiri oleh Timbalan Presiden MCA DS Dr Wee Ka Siong, yang juga anggota Parlimen Ayer Hitam.

DS Liow ketika mengulas ucapan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pagoh mengenai strategi pembangkang untuk meletakkan calon menentang BN dalam pertandingan satu lawan satu, berkata amalan memancing calon akan berterusan, dari dalam pakatan pembangkang sendiri.

Beliau menarik perhatian kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak apabila strategi satu lawan satu bagi pembangkang gagal kerana mereka tidak dapat mencapai kesepakatan. Pembangkang menurut DS Liow pernah berjanji untuk menubuhkan negara kebajikan tetapi mereka tidak dapat melakukannya. 

DS Liow berkata pembangkang juga berjanji bahawa DAP akan bekerjasama dengan PAS, tetapi mereka tidak dapat melaksanakannya dan ini menunjukkan mereka banyak bercanggah pendapat. Beliau berkata formula BN akan menjadi formula mampan untuk jangka panjang yang akhirnya akan memastikan calon-calonnya memenangi pilihan raya.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates