October 22, 2016

0 Bajet 2017 Tetap Memberi Perhatian Kepada Kebajikan Pemandu Teksi

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengalu-alukan pembentangan Bajet 2017 di mana Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta dana untuk kebajikan pemandu-pemandu teksi. Kerajaan juga telah bersetuju memberikan geran sebanyak RM5,000 bagi pemandu teksi yang mendapat lesen individu, untuk membantu mereka membeli kenderaan baru. 

Setakat ini lebih 4,000 borang telah diedarkan dan 900 permohonan telah diterima sejak permohonan dibuka pada September 2016. Kerajaan juga di dalam Bajet 2017 bersetuju mencarum pemandu-pemandu teksi di dalam skim SOCSO untuk kebajikan mereka terutama ketika berlakunya kemalangan.

Adalah diakui bahawa perkhidmatan e-panggilan seperti Uber dan GrabCar mengganggu industri teksi di seluruh dunia, malah Malaysia telah mewujudkan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) agar merubah industri ini selari dengan perkembangan teknologi dan permintaan semasa.

Di antara inisiatif yang diluluskan oleh kerajaan di bawah TITP adalah termasuk menarik balik pembekuan kepada permohonan lesen teksi individu yang membenarkan pemandu teksi yang layak dan akan menamatkan tempoh pajakan di bawah syarikat teksi untuk memohon lesen individu. Ini membolehkan mereka menjadi majikan sendiri dan tidak perlu menyewa permit teksi di bawah sistem pajak dengan syarikat teksi.

SPAD dengan kelulusan kerajaan telah menentukan kadar tambang maksimum bagi perkhidmatan teksi bermeter, tetapi bagaimanapun bagi mempromosikan perkhidmatan teksi, syarikat ataupun pemandu teksi boleh mengenakan tambang yang lebih rendah. Ini secara langsung dapat menarik perhatian umum untuk memilih perkhidmatan teksi.

Sementara itu, SPAD juga akan membentangkan usul kepada Parlimen untuk meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi membolehkan Suruhanjaya mengawal selia syarat-syarat kontrak yang dikenakan oleh syarikat teksi terhadap pemandu teksi. SPAD akan mengawal selia kontrak sewaan baharu, menyeragamkan dan menguatkuasakan syarat-syarat wajib yang dikenakan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates