December 5, 2015

1 Boikot McDonald's - Mitos Israel Dan Fakta


McDonalds bukanlah satu jenama asing di Malaysia. McDonalds merupakan rangkaian restoren makanan segera yang terkenal dan disukai ramai lebih 30 tahun di Malaysia. Dengan 'trademark' terkenal seperti 'I'm lovin' it' dan 'Mc Value Meal', McDonald's pastinya mengamit pelanggannya untuk kembali menikmati kelazatan dan kesegaran makanan segeranya di 270 buah restoren di Malaysia.

Malangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini setiap kali berlaku konflik di Palestin seperti serangan tentera Israel ke atas Gaza, boikot akan dilakukan ke atas McDonalds oleh segelintir Rakyat Malaysia. McDonald's pula sudah seakan-akan sinonim dengan regim Israel setiap kali timbulnya krisis konflik berkenaan. 

Masih jelas bagi kita kejadian bilamana McDonald's Malaysia di'kambing hitam'kan oleh individu-individu tertentu yang memboikot McDonald's kerana dikatakan mempunyai hubungan dengan Israel.

Kejadian pada bulan Ogos 2014 seharusnya tidak berlaku lagi. Protes ganas telah dijalankan di dua cawangan McDonald's di Kerteh dan Dungun, telah mengakibatkan kira-kira 80% kerugian di kedua-dua restoran tersebut.

Beberapa francais McDonald's di seluruh negara juga telah terdedah kepada vandalisme, sementara pekerja-pekerja mereka diganggu berikutan tuduhan bahawa mereka telah menyalurkan dana dan membantu Israel di atas kekejaman rejim Zionis terhadap Gaza.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah semua pekerja McDonald's adalah merupakan warganegara Malaysia dan realitinya, pekerja-pekerja dan francais McDonald's tidak bersalah dan tindakan ini secara dasarnya tidak adil untuk mereka dipersalahkan. 

Rangkaian restoran makanan segera ini tidak pernah menyalurkan hasil jualan, keuntungan atau yuran francais daripada mereka kepada mana-mana aktiviti politik atau konflik di seluruh dunia.

Senarai nama-nama produk dan syarikat, termasuk McDonald's, dikatakan telah 'menyalurkan' wang kepada rejim Zionis di Israel telah tersebar meluas di media sosial sebagai gerakan untuk memboikot barangan yang dihasillkan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Mengapa McDonald's perlu diboikot? Apakah McDonalds mempunyai hubungan dengan Israel seperti yang dikatakan? Setakat apa yang dikumpulkan terutama dari website yang kuat menyokong pemboikotan McDonald's seperti Inminds, tuduhan-tuduhan berkaitan McDonalds mempunyai hubungan dengan Israrl adalah seperti berikut:
1. McDonald's Corp adalah penyumbang dana kepada Jewish United Fund yang berpengkalan di Chicago melalui 'Matching Gift Program'.
2. Bekas CEO (dan Chairman) McDonald's Jack Greenberg seorang yahudi dan penyokong kuat Israel melalui beberapa badan komuniti Yahudi di Chicago.
3. McDonald's mempunyai 180 buah restoran di Israel dan memberi peluang pekerjaan kepada 3,000 warga Israel.
Bagi menjawab soalan pertama, biarlah kita semua faham apa yang dimaksudkan dengan 'Jewish United Fund (JUF)' dan 'Matching Fund Program'.

Bagi merungkai persoalan sumbangan dana kepada Israel seeloknya kita mengupas bagaimana McDonald's menyalurkan dana kepada JUF ini. Adakah McDonald's membayar sejumlah wang mengikut peratusan keuntungan mereka kepada JUF? Ataupun ada jumlah tetap dibayar kepada JUF? 

Berdasarkan laporan tahunan kewangan McDonald's yang telah diaudit daripada tahun 2000 sehingga 2014, tiada bukti jelas menunjukkan sumbangan kewangan McDonald's kepada JUF apatah lagi kepada Israel. 

Apa yang ditemui di laman web JUF hanyalah MGP iaitu satu program sumbangan atau derma kepada badan-badan yang mempromosi program pendidikan, kebudayaan, sivil, anak muda dan kesihatan. 

Sila rujuk JUF: Where Your Money Goes? sekiranya anda ingin mengetahui bagaimana JUF menyalurkan wang sumbangan, untuk tujuan apa sumbangan itu disalurkan dan siapa yang menerima sumbangan tersebut.


Tiada siapa boleh menafikan sumbangan JUF kepada Israel dan kaum Yahudi di Amerika Syarikat kerana ianya jelas dan disenaraikan di dalam laman web JUF. 

Cumanya, dalam banyak-banyak penerima bantuan kewangan yang disenaraikan, tiada langsung wang berkenaan sampai kepada Israel Defence Forces (IDF) atau puak Zionis untuk tujuan peperangan dan penaklukan ke atas Palestin.

Apa yang hendak disampaikan di sini adalah adalah mustahil untuk mengaitkan sumbangan McDonald's kepada JUF secara langsung dan adalah tidqk logik untuk mengatakan bahawa sumbangan berkenaan sampai kepada mereka yang melakukan kezaliman di atas bumi Palestin tidak kira di Gaza ataupun di Tebing Barat. 

Tambahan lagi, sumbangan korporat kepada JUF dibuat mengikut program-program khusus untuk pendidikan, sosial, budaya dan tiada langsung untuk program ketenteraan.

Berbalik pula kepada bagaimana pula program pemberian sepadan atau MGP berfungsi. Jika pekerja sebuah syarikat ingin menyumbang kepada badan-badan seperti yang dinyatakan di atas, syarikat di mana pekerja itu bekerja akan turut menyumbang kepada badan tersebut dengan jumlah sumbangan yang sama dibuat oleh pekerja itu. 

Contohnya, seorang pekerja McDonald's berhasrat menderma RM100 kepada JUF, McDonald's iaitu majikan pekerja itu akan turut menyumbang jumlah yang sama iaitu RM100 kepada JUF. Berikut adalah Polisi Program Employee Matching Gifts oleh McDonald's Malaysia:



Program MFP ini tidak terhad kepada JUF sahaja. Mana-mana badan yang berdaftar di bawah undang-undang US [Kod Hasil Pendapatan Seksyen 501 (c) (3)] boleh menerima sumbangan melalui program MFP daripada McDonalds. 

MFP ini bukanlah perkara baru. Banyak lagi syarikat korporat besar yang menjalankan program seperti ini sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat atau 'Corporate Social Responsibilty (CSR)' dan juga salah satu cara mengurangkan bayaran cukai pendapatan kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Antaranya termasuklah Apple Inc, Google Inc, Yum Brands (pemilik KFC, Pizza Hut dan Taco Bell), Toyota Motor Corp dan banyak lagi. Anda boleh menyemak syarikat yang mempunyai program MFP dan membenarkan pekerja mereka menyumbang kepada JUF. Ironinya, tidak ada satupun syarikat-syarikat tersebut di atas yang telah dikaitkan dengan Israel apabila timbulnya isu Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Daripada tahun 2013 sehinggalah bulan Julai 2014, terdapat hampir 3,000 sumbangan pekerja-pekerja McDonald's di seluruh dunia untuk MFP. Dari jumlah itu hanya 5 sahaja sumbangan kepada JUF.

Cukuplah dengan penjelasan awal mitos McDonalds dengan Israel. Dua persoalan lagi akan dijawab di dalam posting akan datang. Tunggu ...

December 3, 2015

0 IKS Malaysia Perlu Ceburi Industri Produk Halal Di China - Datuk Dr Wee Ka Siong


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) digalakkan menceburi perniagaan yang mempunyai masa depan yang cerah, iaitu industri memasarkan produk halal ke luar negara dan antara negara yang patut diberi tumpuan oleh usahawan IKS di Malaysia ialah China. Datuk Wee berkata demikian ketika berucap pada Forum Halal 2015 di Putrajaya, semalam. 

Forum berkenaan turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Jamil Khir Baharom dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DS Mustapha Mohamed. Menurut Datuk Wee, sejak beberapa tahun, di bawah inisiatif 'One Belt One Road' (OBOR) yang bertujuan untuk menghidupkan semula 'Laluan Sutera' yang popular pada zaman dulu, China sentiasa mencari peluang untuk berurusniaga dalam perdagangan halal dengan negara Islam dan Arab menerusi perjanjian perdagangan dua hala.

Malaysia kata beliau 25 peratus rakyatnya bertutur bahasa Mandarin dan adalah rakan dagangan utama China, sebuah negara yang berkongsi sejarah dan budaya dengan Malaysia selama lebih empat dekad. Kepelbagaian kaum dan kedudukan strategik di Asia Tenggara adalah kekuatan Malaysia. Malaysia seharusnya mengunakan kelebihan ini sepenuhnya.

Datuk Wee, yang juga Timbalan Presiden MCA, menggesa golongan IKS bekerjasama rapat dengan Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menjadikan pembangunan Halal perkara terpenting dalam OBOR. China kata beliau adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama enam tahun berturut-turut dan hasil dagangan kedua negara ini melebihi US100 billion dua tahun berturut-turut. Maka produk-produk halal mesti memainkan peranan utama dalam hal ini.

Menurut Datuk Wee ramai golongan IKS kaum Cina di Malaysia yang ditemuinya berkata mereka sudah bersedia mengeksport produk halal ke China dan India dan Timur Tengah. Namun mereka memerlukan bimbingan dan sokongan HDC dan JAKIM untuk memastikan semua produk mendapat sijil halal. Katanya ramai pelabur di China sudah menyuarakan minat untuk menyokong IKS Malaysia.

Datuk Wee juga menyarankan usahawan IKS menggunakan Pelabuhan Weifang milik Sime Darby sebagai laluan perdagangan ke China dan Timur Tengah. Beliau meminta JAKIM mempertingkatkan pemasaran dan promosi sijil dan logo halal bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dengan negara rakan perdagangan terutama Cina, India dan Timur Tengah.


17 Tu Dia Haih! 25 November Masuk DAP, 2 Disember U-Turn Masuk PAS Balik

Tidak sampai seminggu ahli-ahli PAS Kawasan Kepala Batas menyertai DAP, 4 daripada mereka kembali 'u-turn' menyertai PAS semua. Borang keahlian DAP pun tidak sempat diproses oleh Ibupejabat DAP disebabkan oleh bekas Setiausaha Organisasi DAP telah meletak jawatan sebelum Konvensyen DAP Negeri disebabkan tekanan yang diberikan oleh Lim Guan Eng.

Tidak pasti sama ada ahli-ahli PAS ini panas berada di dalam parti cauvinis Cina ini atau ganjaran syurga yang ditawarkan kembali oleh parti PAS, namun komponen Barisan Nasional tidak wajar mengikut jejak langkah PAS menerima kembali ahli-ahli mereka yang belot menyertai parti pembangkang terutamanya DAP.

December 2, 2015

47 Kenaikan Tambang ERL Sebanyak RM20! Jangan Salahkan Kerajaan, Salahkan Dasar Pengswastaan Kayakan Kroni


Sejak semalam, pentaksub ProTun telah mula menghentak Kerajaan yang sedia ada akibat kenaikan harga tambang Express Rail Link (ERL) sebanyak 57% daripada RM35 kepada RM55 setiap perjalanan. Walau bagaimanapun, berdasarkan syarat-syarat perjanjian konsesi, ERL berhak untuk mengenakan bayaran RM64 setiap perjalanan, namun tidak diluluskan oleh Kabinet lepas.

Peningkatan ini seolah-olah tidak munasabah buat masa sekarang kerana  ERL telah menikmati trafik penumpang yang lebih baik selepas laluannya bersambung dengan KLIA 2 tahun lepas. Perjanjian konsesi telah ditandatangani pada 25 Ogos 1997, mula beroperasi tahun 2002 dan berlangsung selama 30 tahun. Terima kasih ke atas Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di atas legasi projek pengswastaan beliau.

Pemilik ERL adalah YTL (50%), Tabung Haji (40%) dan Trisilco Equity Sdn Bhd (10%). Modal berbayar Trisilco Equity ialah RM1 juta dan ia adalah 100% dimiliki oleh Tan Sri Nadzmi Salleh, yang juga telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif ERL pada Ogos 1998. Tan Sri Nadzmi Salleh sebelum ini merupakan Pengarah Urusan Proton dari 1993 hingga 1996. 

Sebelum menyertai Proton, beliau merupakan Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON). Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Proton tetapi berhenti apabila DRB-Hicom mengambil alih pada 2012 - jawatan yang akhirnya diambil alih oleh Tun Mahathir di 2014.

Kalau ye pun ERL berhasrat untuk naikkan tambang, takkanlah tambang sehala naik dari RM35 ke RM55, kenaikan RM20. Bukan tidak ada penumpang yang menggunakan perkhidmatan ERL sehingga mereka terpaksa meniakkan tambang. Apa kata kita guna hak kita sebagai pengguna. Kita gunakan bas, teksi, Grabcar, Uber atau apa sahaja. Kita kasi muflis syarikat kroni bernama YTL. Jangan sesekali salahkan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Harga Proton mahalpun beliau salahkan DS Najib Tun Razak. Macamlah zaman beliau harga Proton murah!

December 1, 2015

0 SPAD Susun Semula Rangkaian Bas Henti-Henti di Kuala Lumpur


Dalam usaha menaik taraf industri pengangkutan awam darat di Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan Bus Network Revamp (BNR) atau penyusunan semula rangkaian perkhidmatan bas henti-henti di Greater Kuala Lumpur mulai 01/12/2015. Di bawah penyusunan semula rangkaian bas ini, koridor bas sedia ada akan disusun semula menjadi koridor yang lebih kecil berdasarkan jalan utama yang menghubungkan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang. 

Rangkaian bas ini dibahagikan kepada 8 koridor iaitu Koridor Jalan Ipoh, Koridor Jalan Pahang, Koridor Ampang, Koridor Cheras, Koridor Sg. Besi, Koridor Klang Lama, Koridor Lebuhraya Persekutuan dan Koridor Damansara. Manakala 241 laluan dan 2,000 bas akan disediakan untuk menambah baik pengangkutan awam darat di Kuala Lumpur

Penambahbaikan rangkaian bas ini akan mengurangkan masa menunggu bagi penumpang semasa waktu puncak dan juga akan melihat integrasi yang lebih efisien dengan mod pengangkutan awam lain bagi menyediakan mod perjalanan awal dan akhir kepada komuter.

Ia juga direka untuk mengurangkan ketidakseimbangan perkhidmatan bas di Greater Kuala Lumpur dan pada masa yang sama membantu industri bas untuk kekal mampan dengan mengurangkan bilangan pengusaha bas daripada bersaing di laluan terpilih sahaja.

Semua bas dalam rangkaian yang disusun semula ini juga akan dilengkapi secara berperingkat dengan Unit Onboard (OBU) sebagai peranti pengesanan GPS yang akan dipantau melalui Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS) yang diselia oleh Pusat Kawalan SPAD, bagi memastikan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan. Nombor laluan dan maklumat jadual bas akan dipaparkan dalam semua bas dan di panel maklumat yang terletak di perhentian bas yang terpilih.

Di bawah langkah ini, 3,000 panel maklumat bas telah dijadualkan untuk dipaparkan di perhentian bas di sekitar Greater Kuala Lumpur pada tahun 2016. Sebanyak 3,700 panel maklumat lagi akan dipaparkan secara berperingkat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan pada 2017. Penyusunan semula rangkaian bas ini akan menawarkan 241 laluan dengan 2,000 unit bas bagi menampung rangkaian yang lebih luas untuk 638,000 penumpang setiap hari.

BNR juga akan melihat kapasiti bas meningkat di laluan yang mempunyai lebih penumpang dan pengenalan laluan baharu di kawasan yang kurang mempunyai perkhidmatan bas. Di bawah penyusunan semula rangkaian bas ini, jarak keseluruhan perkhidmatan bas akat meningkat kepada 9,202 km, daripada daripada 7,643 km sebelum ini.








3 Program 'Back To School' Parlimen Kota Tinggi Bukti BN Prihatin Pendidikan Kanak-Kanak


"Anak-anak yang berjaya dalam pendidikan dan kerjaya sudah tentu akan membantu ibu bapa mereka. Inilah pelaburan terbesar kepada ibu bapa" begitulah yang diucapkan oleh Datuk Hj Noor Ehsanuddin Hj Mohd Harun Narrashid, Ahli Parlimen Kota Tinggi sewaktu merasmikan program 'Back To School' bagi Parlimen Kota Tinggi, dua hari lepas di Felda Pasak, Kota Tinggi.

Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa agensi seperti  Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi, Yayasan Mesra, PPD Kota Tinggi dan JKKK Felda Bukit Easter.

Di majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan daripada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PLUS kepada 200  asnaf yang bakal memulakan persekolahan tahun depan. Selain bantuan beg dan peralatan sekolah, mereka juga menerima sumbangan kewangan.

Sebelum itu, Datuk Ehsanuddin yang juga Pengerusi Yayasan Mesra menyampaikan bantuan peralatan sekolah di program 'Back To School' di Sekolah Kebangsaan Muzzafar Syah, Kota Tinggi. Bantuan itu membabitkan lebih 1,000 kanak-kanak daripada 25 sekolah kebangsaan di Parlimen Kota Tinggi yang memulakan darjah satu sesi persekolahan 2016.

Datuk Ehsanuddin menegaskan, pada pembentangan bajet baru-baru ini, pelajaran telah mendapat peruntukkan sebanyak RM41 billion. Bayangkan jika Kerajaan yang ada sekarang tidak membantu, mungkin ibu bapa terpaksa menanggung sendiri pendidikan anak-anak. Kerajaan melabur kepada pendidikan kerana pelajar yang berjaya bukan sahaja dapat membantu ibu bapa tetapi kepada Kerajaan apabila mereka bekerja dalam pelbagai sektor kelak.

Kita menyambut baik program sebegini yang dilakukan oleh Parlimen Kota Tinggi dan berharap ianya menjadi contoh kepada parlimen-parlimen lain di seluruh Malaysia. Program sebegini amat berfaedah untuk golongan ibu bapa terutama bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana ianya secara langsung dapat membantu meringankan belanja keluarga sewaktu sessi persekolahan dibuka kelak. Tahniah Parlimen Kota Tinggi.


 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates