March 14, 2015

0 Sempena Ulang Tahun MCA Kali Ke 66 - Sejarah Tidak Pernah Lupa Jasa MCA Terhadap Kemerdekaan Negara


Pada 27 Februari 1949, Tun Tan Cheng Lock bersama-sama pemimpin Cina seperti Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee telah mengasaskan penubuhan MCA. MCA telah ditubuhkan dengan matlamat untuk menyatukan orang-orang Cina di seluruh Tanah Melayu, melindungi hak dan kepentingan orang Cina, bekerjasama dengan kerajaan untuk menentang komunis dan bekerjasama dengan kaum lain bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Atas usaha gigih Tun Tan Cheng Lock selaku Presiden pertama, beliau telah mengetuai kempen di seluruh Tanah Melayu untuk menubuhkan cawangan MCA di semua negeri dan hasilnya seramai 200,000 orang ahli telah didaftarkan. Atas kesungguhan dan matlamat bersama, bilangan cawangan dan ahli semakin bertambah dari semasa ke semasa. Dalam keadaan Tanah Melayu yang masih terumbang-ambing pada masa itu, MCA memikul tugas mencabar untuk menyakinkan pihak-pihak lain, terutamanya kerajaan British bahawa sebahagian besar orang Cina tidak bersekongkol dalam perjuangan komunis.

MCA telah memberi kerjasama yang erat dengan kerajaan British dalam usaha melemahkan perjuangan komunis yang berjuang secara kekerasan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Antara sumbangan MCA dalam usaha ke arah memerdekakan Tanah Melayu adalah mengusahakan penempatan semula orang Cina yang tinggal berselerak di kawasan-kawasan setinggan pinggir hutan dan ditempatkan di kawasan yang dipanggil ‘kampung baru’ yang lebih tersusun dan selamat. Dalam masa yang sama, Tabung Kebajikan ditubuhkan di Ibu Pejabat MCA untuk memudahkan pengurusan pemberian bantuan kepada penghuni kampung baru.

Antara syarat yang digariskan oleh kerajaan British yang menentukan corak politik semasa selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu ialah mewujudkan kerjasama antara kaum. Langkah inilah yang telah diambil oleh MCA. MCA bersama UMNO juga terlibat secara langsung dalam usaha untuk mencapai perpaduan kaum di Tanah Melayu yang dimulakan pada tahun 1949 melalui penubuhan Community Liasion Committe (CLC). 

Dalam jalinan kerjasama, Tun Tan Cheng Lock telah membawa MCA dalam Konvensyen Kebangsaan (National Convention) yang dianjurkan bersama UMNO pada 23 Ogos 1953 dan hasilnya kata sepakat telah dicapai untuk persefahaman ke arah mencapai kemerdekaan Tanah Melayu melalui jalan aman.

Pembentukan parti Perikatan yang mengandungi MCA, UMNO dan MIC mempercepatkan proses mencapai kemerdekaan. Tambahan pula, Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan tahun 1955. Sesungguhnya, kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah adalah bukti kesungguhan dalam ikatan perpaduan atas kerukunan untuk kesejahteraan bersama.

Tahun ini genap 66 tahun penubuhan MCA. Selama itu jugalah parti ini bersama erat bersama-sama dengan UMNO dalam Barisan Nasional (dahulunya dipanggil Perikatan). Esok anggota MCA menghadiri majlis sambutan Ulang Tahun Penubuhan MCA Yang Ke 66 yang bertemakan "Merealisasikan Kesederhanaan, Membina Pragmatisme." Tema tahun ini amat bertepatan dengan sikap yang diambil oleh MCA sejak awal penubuhannya yang amat sederhana dan tidak ekstrem sehinggalah Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaannya.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates