March 9, 2015

0 Isu CEO Anak Syarikat FELDA Ditahan SPRM Buktikan FELDA Telus Banteras Rasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuat tangkapan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat FELDA pada 1 Mac lalu. Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin berkata CEO terbabit masih ditahan reman hingga esok. 

Beliau berkata SPRM turut menahan seorang ahli perniagaan pada 26 Feb lalu. Ahli perniagaan terbabit ditahan reman hingga 5 Mac dan disambung reman selama empat hari sebelum dibebaskan pada 7 Mac lalu.

Kedua-dua mereka yang berusia 44 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyeleweng wang anak syarikat FELDA berhubung pembelian sebuah hotel di Port Dickson bernilai kira-kira RM40 juta. Sebanyak 23 individu diambil keterangan setakat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 a(A) Akta SPRM 2009.

Pendedahan oleh pihak SPRM ini sekaligus telah menidakkan cakap-cakap bahawa FELDA telah menyembunyikan kes salah laku di kalangan kakitangannya. Tangkapan seorang pegawai kanan di dalam FELDA ini membuktikan FELDA telus dan berintergriti di dalam membanteras rasuah dan tiada apa perlu dirahsiakan terutama sekali kes melibatkan salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Ianya selaras dengan Ikrar Integriti Korporat dan Persepakatan Integriti oleh FELDA dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang ditandatangani pada 9 April 2012 bersama pihak SPRM. Tujuan Ikrar berkenaan antara lain diadakan adalah bagi memantapkan nilai dan integriti warga FGVH/FELDA agar tidak terdedah kepada ancaman rasuah, salahguna kuasa dan pelbagai bentuk penyelewengan.

Penangkapan Pegawai Kanan anak syarikat FELDA ini bukan sahaja membuktikan FELDA telus membanteras rasuah malah memberikan impak yang cukup besar dalam usaha meningkatkan keyakinan dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan SPRM dalam menjalankan fungsi dan peranannya.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates