August 17, 2013

19 Tidak Sampai 200 Orang Hadir Himpunan Munajat 100K Anjuran PAS




Mungkin disebabkan banyaknya Rumah Terbuka Aidil Fitri yang diadakan hari ini atau orang ramai masih lagi dalam suasana kunjung mengunjung sesama rakan dan saudara sehingga menyebabkan kehadiran orang ramai di Himpunan Munajat 100K anjuran PAS petang tadi, hanyalah sekitar 200 orang. CTS rasa lebih ramai lagi orang yang mendoakan kepada Rakyat Mesir di seluruh negara selepas Sembahyang Jumaat semalam. 

Himpunan Munajat 100K yang pada asalnya dicadang diadakan di Dataran Merdeka telah berubah lokasi ke Padang Merbok. Pendapat CTS, adalah lebih molek dan elok sekiranya solat munajat dan hajat serta solat fardhu diadakan di Masjid. CTS tidak mengatakan solat orang-orang PAS di atas tidak sah. Cumanya, kenapa kita hendak kufur nikmat bersembahyang di tengah padang sedangkan masjid begitu banyak dan besar di Ibu Negara. Yang terdekat adalah Masjid Jamek dan Masjid Negara. Selepas majlis di masjid kita buat sekali Jamuan Aidil Fitri. Tak ke molek?

August 16, 2013

79 Keluhan Kenaikan Gred Jawatan Peringkat Tertinggi Kerajaan cc. DS @AliHamsa55

Berikut adalah e-mail yang CTS terima daripada Bayu Idaman, Kajang, yang memohon agar e-mail beliau disiarkan untuk mendapat perhatian pihak berwajib:

Struktur Perjawatan dalam sektor Kerajaan 10 dan 15 tahun dahulu adalah sangat tersusun dan efektif untuk ianya berfungsi. Bilangan Penjawat Awam tidak pernah melebihi angka 1 juta walaupun sebilangan besar darinya adalah untuk tujuan SosioEkonomi dan dalam sektor Keselamatan seperti Guru, Anggota Perubatan, Polis dan Tentera serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Perjawatan di Kementerian juga sangat efektif dan berpadanan bagi melaksanakan fungsi Perkhidmatan Awam di Peringkat Persekutuan. 

Jawatan KSU JUSA A, Timbalan KSU JUSA B atau C, Setiausaha Bahagian (SUB) Gred 54, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Gred 48 atau 52, Penolong Setiausaha (PSU) Gred  41 atau 44, Ketua Kerani (CC) Gred 22 dan Kerani Gred 17. Jawatan-jawatan bawahan seperti Jurutrengkas, Office-Boy, Pencari Fail, Operator Mesin Pemprosesan Data (OMPD) dan Tukang semuanya dijumudkan (bubar) dengan kepesatan Teknologi Maklumat yang meningkatkan kecekapan bekerja. 

Cuma KSU Kementerian yang besar seperti MOF dan Ketua Pengarah beberapa Agensi Pusat seperti JPA, EPU, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera yang jumlahnya sekitar 7 atau 6 termasuk KSN diisi dgn Gred TURUS atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil STAFF. 

Struktur organisasi sedemikian adalah sangat cantik, praktikal, sesuai dan dapat berfungsi sebagaimana yang dikehendaki. Tidak berlaku pertambahan Jawatan dan Naiktaraf Jawatan dengan sewenang-wenangnya yang menjadikan Perkhidmatan Awam sekarang terlalu besar. 

Namun sejak perlantikan Tan Sri Zabidi Zainal selaku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baru, beliau ingin mengecilkan struktur perjawatan di semua peringkat dengan menghapuskan jawatan-jawatan yang beliau katakan tidak penting melalui Audit Perjawatan Yang Kejat (Towards A Lean Civil Service). Beberapa alasan telah dilontarkan bagi menyokong tindakan beliau ini yang antaranya adalah pembayaran Emolumen Gaji dan Elaun yang semakin tinggi dan membebankan Kerajaan. 

Hakikatnya beliau telah menyembunyikan fakta Struktur Perkhidmatan Awam yang kini 'Top Heavy' dengan Gred Jawatan yang tinggi di peringkat atasan! Ketua Jabatan sewenang-wenangnya dinaikkan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (Special To Holder) walaupun sebenarnya perjawatan mereka adalah lebih rendah. Berikut adalah ilustrasi keterangan bagi menjelaskan fakta ini.

Senario Sekarang

Kerani yg bekerja melebihi 15 tahun boleh mendapat Gred 22 atas konsep Khas Untuk Penyandang (Special To Holder) menjadikan Kerani itu sama gred dengan CC. Penambahbaikan ini diterima baik oleh semua pihak dan tidak mendatangkan sebarang masalah bagi mengiktiraf kemajuan kerjaya Kumpulan Kerani.   

SUB pula semua dinaiktaraf menjadi JUSA C. KPSU dan PSU masih kekal sama. Namun untuk mengisi Gred 54 yang dikosongkan SUB, maka wujudlah jawatan baru dipanggil Timbalan SUB (TSUB). Kebiasaannya setiap SUB mempunyai 2 orang TSUB yang hakikatnya tidak signifikan dan tidak mempunyai fungsi khusus dalam melaksanakan tugas. TSUB hanya bertindak membantu SUB untuk menghadiri mesyuarat mewakili SUB. 

Tugasan hakiki Bahagian berkenaan masih kekal dilaksanakan oleh KPSU atau PSU. Semua surat yang masuk akan dibaca SUB dan di-'Minit'kan kepada salah seorang daripada 2 orang TSUB seperti 'Untuk Tindakan Susulan' atau 'Sila ambil tindakan' dan sebagainya. TSUB kemudian pula akan me-Minitkan kpd KPSU atau PSU menggunakan 'Minit' yang hampir serupa seperti 'Minit' SUB! Kewujudan TSUB hanyalah untuk mengisi 'vacuum' jawatan Gred 54.

TKSU pula masih kekal sebagai JUSA B ataupun dinaiktaraf kepada JUSA A. Sebagai contohnya seperti di MINDEF yang dahulunya mempunyai 2 TKSU, sekarang pula terdapat tambahan seorang lagi TKSU menjadikan jumlahnya 3 orang. 2 TKSU adalah JUSA B dan seorang lagi adalah JUSA A. Kalau di KDN pula, terdapat seramai 5 orang di peringkat TKSU iaitu 3 TKSU dan 2 TKSU Kanan (TKSUK). 

Bukankah 5 orang TKSU di sesebuah Kementerian terlalu ramai??? Pada masa yang sama KDN juga mempunyai beberapa Jabatan yang mempunyai Ketua Pengarahnya masing-masing!  Ketua Pengarah masih boleh berfungsi di bawah kawalan KSU dan Menteri. TKSU hanyalah satu peringkat fasilitasi dalam membantu dan mewakili kuasa KSU sahaja. 

Gred Turus

Sudah menjadi amalan bahawa semua KSU di 22 buah Kementerian adalah Gred Turus. Jumlah KSU pula adalah seramai 23 orang kerana Kementerian Pendidikan mempunyai 2 orang KSU walaupun setelah Kementerian Pengajian Tinggi digabungkan. Namun kenapa selepas penggabungan Kementerian jawatan KSU Kementerian Pengajian Tinggi tidak pula dihapuskan?? Sesebuah Kementerian boleh mempunyai 2 orang Menteri seperti yang berlaku di MOF tetapi tidak pernah dalam sejarah Perkhidmatan Awam boleh terdapat 2 orang KSU. 

Selain dari itu JPM sebagai sebuah organisasi yang besar seperti sebuah Kementerian, fungsi KSU dilaksanakan oleh KSN yang juga menjadi Ketua kepada semua KSU Kementerian. Urusan Pentadbiran di JPM dilaksanakan oleh seorang yang bertindak seperti Timbalan KSN iaitu Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM (TKSUK) Gred JUSA A. Namun tidak sampai 2 tahun di jawatan berkenaan, KSN telah memberikan ganjaran Gred Turus (Special to Holder) kepada TKSUK JPM! Kemungkinan kekosongan gred JUSA A tersebut akan dibuat pengisian dengan tambahan seorang lagi TKSU JPM yang sekarangnya telah diisi oleh 2 orang??? Wallahualam.  

Terdapat beberapa agensi yang mempunyai Ketua Pengarah di Gred Turus. Salah satu darinya adalah seperti MARA yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar & Wilayah. Jawatan Ketua Pengarah MARA dahulunya adalah JUSA B sahaja tetapi sekarang telah dinaik taraf menjadi Turus! Kemungkinan TKSU di Kementerian Luar Bandar & Wilayah juga akan dinaiktaraf menjadi Gred Turus??? Wallahualam. 

Sektor Perkhidmatan Awam Yang Besar

Sejak jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam diisi bagi menggantikan Tan Sri Abu Bakar Abdullah yang dibersarakan akibat kemelut SBPA, Tan Sri Zabidi Zainal bertekad untuk mengkaji semula semua perjawatan Sektor Awam. JPA berpendapat ianya adalah terlalu besar dan perlu disusun semula (Rightsizing). JPA sedang dalam proses membuat Kajian Audit Perjawatan untuk semua Sektor Perkhidmatan Awam di Peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. 

Perbendaharaan yang menyediakan peruntukan untuk bayaran emolumen juga bersetuju dengan penyusunan semula ini kerana Kerajaan perlu menyediakan peruntukan Emolumen yang besar kepada Perkhidmatan Awam. Mana tidaknya, sebagai contoh gaji pokok Gred JUSA A  adalah sekitar RM15,000++ tidak termasuk Bayaran Elaun yang menjadikan 'Take Home Pay' sekitar RM23,000 hingga RM25,000. Susah pula untuk membayangkan Emolumen bagi Gred Turus yang sekarangnya terdiri tidak kurang daripada 30 orang keseluruhannya! 

Sebagai langkah permulaan dalam Transformasi Perkhidmatan Awam, Ketua Penolong Pengarah di JPA yang setaraf dengan Jawatan KPSU di Kementerian sedang secara berperingkat-peringkat diletakkan di dalam sebuah Bilik Besar secara 'Pool'. Manakala Setiausaha Pejabat (PA) pula dikongsi oleh 2 orang Pengarah Gred 54. Langkah ini sememangnya sesuai untuk dilaksanakan. Akan tetapi JPA cuba untuk tidak menumpukan sebarang perhatian kepada Gred-Gred Turus yang banyak tersebut! "Real Problem But Wrong Solution!"

Mengapakah JPA mengurangkan bilangan Kerani, bilangan PSU, bilangan KPSU tetapi mereka terlupa senario menaiktarafkan Jawatan SUB, TKSU dan KSU??? Mengapa berlakunya Double Standard sedemikian??? Perjawatan Kerani, PSU dan KPSU akan dikorbankan namun jika dikaji dari segi nilai Emolumen, sememangnya tidak akan setimpal!

Cadangan

Sebagai slogan Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk Merakyatkan Perkhidmatan Awam, beliau boleh di-akses melalui Laman Facebook dan Twitter untuk menjawab semua persoalan ini. Beliau mungkin boleh memberikan definisi Jawatan Utama Sektor Awam ataupun JUSA. Tetapi apakah definisi Gred Turus sebenarnya??? 

Kajian menyeluruh terhadap Perjawatan JUSA dan Turus lah yang sepatutnya dibuat! JUSA perlu dikekalkan di peringkat KSU, TKSU dan Ketua Pengarah sahaja. Jawatan SUB ke bawah cukup sekadar Gred 54.

Rasional Cadangan

Sebagai mengiktiraf konsep Jawatan Setara Perkhidmatan Awam dengan ATM, Brigadier Jeneral (1 bintang) setara Gred 54, Mejar Jeneral (2 bintang) setara JUSA C, Leftenan Jeneral (3 bintang) setara JUSA B dan Jeneral (4 bintang) setara JUSA A. Struktur baru sesebuah Kementerian bagi peringkat SUB adalah Brig Jen, TKSU adalah Mej Jen atau Lt Jen (mengikut kesesuaian dan kekananan) dan KSU adalah Jeneral!

Gred Turus perlulah terhad dan secara premium diberikan kepada yang betul-betul Kanan dalam Perkhidmatan Awam seperti Jawatan KSN, KPPA atau KSU Kementerian yang besar seperti MOF sahaja. Amalan dahulu sepatutnya dikekalkan.

Mohon bantuan Cucu Tok Selampit bagi menghentikan amalan tidak sihat ini.

2 Setelah 4 Hari Baru Pejabat PM Menafikan Ilusi @anwaribrahim Mengenai Kerajaan Perpaduan?


Setelah 4 hari berlalu, barulah kenyataan penafian mengenai ilusi Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengenai Perdana Menteri, DS Najib Razak menghubungi beliau dan mencadangkan agar diadakan kerajaan perpaduan antara UMNO dan PKR dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO). Kenyataan wawancara Anwar Ibrahim yang dikeluarkan oleh Asia Sentinel telah pertama kali dilaporkan oleh The Malaysian Insiders, di sini pada 12/08/2013. Apalah yang menyebabkan PMO sibuk sangat sehinggakan mengambil masa 4 hari untuk membuat penafian.

Mungkin masih lagi dalam suasana raya dan "mabuk" ketupat dan lemang masih membelenggu kakitangan PMO sehingga menyebabkan kelewatan ini. Dalam era maklumat sekadar di hujung jari, diharap PMO, terutama Bahagian Media/Strategik, dapat lebih efisyen dan responsif pada masa akan datang di dalam mengeluarkan kenyataan mempertahankan PM, agar Rakyat tidak membuat andaian yang bukan-bukan atau persepsi yang salah yang boleh terus merosakkan reputasi Perdana Menteri.

12 Himpunan Munajat 100K - Asal Berhimpun di Dataran ... Asal Berhimpun Di Dataran ... Itulah PAS!!!


Suka bebenor parti PAS ni dengan Dataran Merdeka. Asal demonstrasi, pilih Dataran. Asal berhimpun pilih Dataran. Satu himpunan besar-besaran akan diadakan esok bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman kerajaan Mesir yang bertindak kejam membunuh rakyat mereka. Himpunan yang dinamakan Himpunan Munajat 100K itu akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 4 petang hingga 9 malam esok. Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang dan beberapa lagi pemimpin dijangka memimpin munajat ini.

Bukankah lebih baik perhimpunan diadakan di kesemua masjid-masjid di seluruh Malaysia? Eloknya hari ini, selepas Sembahyang Jumaat. Semua umat Islam hadir di Masjid, sembahyang hajat dan berdoa beramai-ramai untuk keselamatan Rakyat Mesir. Kenapa mesti berhimpun di tengah padang, di tengah Bandaraya menganggu Rakyat lain yang mahu pulang dari kerja, beriadah dan aktiviti-aktiviti lain? 

Sudahkah permit dari pihak Polis dan DBKL diperolehi? Kalau tidak, bukankah ini perhimpunan haram? CTS rasa doa orang yang berhimpun, menghalang lalulintas dan mengganggu ketenteraman awam mungkin tidak dimakbulkan Allah, sekiranya disebabkan perhimpunan itu, kutukan dan cacian yang diterima daripada orang-orang yang terperangkap dalam kesesakan di bandar.

August 15, 2013

7 Jalan Tokong @cmlimguangeng Sudah Lentur ... Eh Luntur ... Eh ...

Belum ada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Republik Pulau Pinang mengenai Jalan Macalister di hadapan Bangunan UMNO yang jerlus sehingga menyebabkan satu lubang besar telah terbentuk dan sebuah "forklift" telah ditelan bumi. Mungkin Joseph Lim Guan Eng sedang mencari perkataan yang sesuai untuk mengambarkan keadaan di sana. 

Sebelum ini apabila salah satu struktur telekomunikasi Bangunan UMNO telah jatuh di jalan yang sama, Joseph Lim telah menggunakan perkataan "bangunan lentur" dan kemudian diperbetulkan menjadi "bangunan luntur", lihat sini. Sama-sama kita tunggu apakah perkataan baru yang akan beliau keluarkan untuk jalan jerlus ini.

Dan seperti biasa, walaupun pembaikan jalan ini telah disiapkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di bawah pengawasan pihak Kerajaan Negeri, jalan yang jerlus ini pastinya salah UMNO!!! Mungkin jurutera MPPP dan Joseph Lim hanya pandai korek tapi tak pandai tutup lubang kot? Kita akan adakan mogok besar-besaran meminta Joseph Lim mengadakan Suruhanjaya DiRaja dan inkues, hehehe.

August 14, 2013

10 Nazri Aziz Lantik Anak Sendiri Sebagai Pegawai Khas Kementeriannya - Kronisme & Nepotisme @NajibRazak ?


Ini adalah website rasmi Kementerian Perlancungan dan Kebudayaan Malaysia, rujuk di sini. Jelas tertera nama anak Menteri kementerian berkenaan, Nedim bin Nazri Aziz dilantik sebagai Pegawai Khas. Apa rasionalnya anak sendiri dilantik sebagai Pegawai Khas kementerian. Bukankah anaknya sudah kaya raya dengan harta kekayaan dan perniagaan keluarga? Apakah rasionalnya anaknya itu menghabiskan masa dengan jawatan yang rendah dengan gaji yang tidak seberapa?

Bagaimana penyokong-penyokong Kerajaan hendak mempertahankan pemimpin-pemimpin mereka sekiranya golongan ini mementingkan nepotisme dan kronisme? Tidak perlu kita berkokok mengatakan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Nik Aziz dan sebagainya menaikkan anak-anak mereka sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sendiri melakukan sedemikan. Tambahan pula si anak Menteri ini memang umum sudah mengetahui berperangai "playboy" dan gambar-gambar sensasinya bertebaran di internet, lihat di sini.

Apakah tidak akan berlaku penyelewengan kuasa apabila bapa dan anak menerajui sebuah kementerian yang banyak menerima peruntukan perbelanjaan negara. Apakah lawatan Menteri ke mana-mana negara akan disusuli dengan Pegawai Khasnya serta artis yang tengah digila-gilakan oleh anak Menteri berkenaan iaitu Nora Danish? Apakah anak Menteri berkenaan berkuasa penuh di dalam kementerian seperti mana menantu seorang Mantan Perdana Menteri yang berkuasa penuh di Tingkat 4 suatu masa dulu?

August 13, 2013

44 Video Suami Dayus Pukul Isteri Depan Anak-Anak Dalam Lif Hospital


Menurut data yang dimuatnaik oleh "uploader",  video CCTV ini baru dimuatnaik pada Aug 13, 2013 3:46 pm dari Pulau Pinang. Menurut "uploader", video ni beliau ambil dari pihak hospital swasta di Banda Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai bukti untuk membuat laporan polis. Malangnya, menurut "uploader" lagi, pihak polis tidak mahu terima laporan tersebut disebabkan pukulan tersebut tidak mendatangkan kecederaan kekal kekal.

Ada 1001 cerita di sebalik video ni di samping lelaki berkenaan memegang erat tangan anaknya tanpa dipukul. Walau bagaimanapun, CTS tidak bersetuju dengan langkah lelaki berkenaan memukul isterinya. Ini dayus dan pengecut namanya. Kalau jahat atau bersalah sebesar manapun si isteri, janganlah dipukul. Sewaktu meminang, pandai hantar rombongan meminang. Seeloknya jika sudah tidak bersefahaman, hantarlah balik ke rumah orang tuanya atau saudara maranya

Sumber asal video di atas, di sini.

10 Khalid "Syiah" Mohd Ismath Ditawar Pengajian Di USM? Baik Betul Kerajaan BN! Tahniah @NajibRazak @MuhyiddinYassin


Masih ingatkah lagi dengan Khalid Mohd Ismath, anak muda yang hampir saban waktu mencetuskan huru hara di dalam negara ini dan secara terang-terangan mengaku pengikut Syiah? Soldadu utama PR dan pengerak utama belia dan mahasiswa pro pembangkang di dalam mana-mana perhimpunan haram  seperti BERSIH 1.0, 2.0, 3.0, Occupy Dataran dan sebagainya?

CTS mendapat berita Kerajaan BN terlalu bermurah hati dengan menawarkan tempat di dalam program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau sepatutnya melaporkan diri hari ini. Tidak dapat dipastikan apa yang berlaku dengan status beliau sebagai pelajar Jurusan Undang-Undang di UiTM, Shah Alam, sama ada digantung atau dibuang. Khalid Mohd Ismath telah melanggar disiplin dan undang-undang serta mempersia peluang di UiTM. Satu tempat telah rugi. Ini tidak termasuk kerugian duit Kerajaan. Ada masalah ke dengan sistem tapisan USM? Elok gai tempat tersebut kepada anak Melayu lain yang masih belum mendapat tempat di pusat pengajian tinggi.

Tahniah kepada Kerajaan DS Najib Razak yang membelai Khalid Ismath seperti "menatang minyak yang penuh". Walaupun dengan kejian dan makian yang sering dihamburkan kepada Kerajaan BN, ditambah dengan demonstrasi haram yang tidak putus-putus dibuat oleh anak muda ini, Kerajaan masih lagi "menganugerahkan" tawaran melanjutkan pelajaran ke USM, walaupun tawan ke UiTM dipersiakan dengan melibatkan diri dengan politik pembangkang. Tahniah sekali lagi buat Kerajaan BN.






August 12, 2013

4 Gambar Kereta Rasmi @cmlimguaneng Melanggar Undang-Undang Di Pulau Pinang


Ini adalah kenderaan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang yang diletakkan secara haram di Cambell Street, kawasan yang diwartakan sebagai larangan paking dan akan dikenakan tindakan mengunci tayar kenderaan. Namun sebagai seorang Ketua Menteri, wajarkah kenderaan beliau diletakkan di tempat larangan paking? Adakah beliau kebal dengan undang-undang? Parking macam samseng. Kalau Ketua Menteri pun langgar undang-undang macam mana rakyat hendak hormat undang undang.

Adakah kesibukan beliau untuk berjumpa dengan Wong Tack, Pengerusi Himpunan Hijau dan calon DAP yang kalah dalam PRU13 di Parlimen Bentong, mewajarkan tindakan biadap ini. Ini bukan urusan Kerajaan. Ini adalah tindakan politik yang mahu menghidupkan kembali isu Lynas yang telah lama tenggelam.

3 PM Norway Memandu Teksi Satu Hari Untuk Mendengar Denyut Nadi Rakyat - PM, TPM, Menteri & Timbalan Menteri Malaysia?


Agak menarik apabila menonton video Al Jazeera mengenai Perdana Menteri Norway yang telah menghabiskan satu hari "bekerja" dengan menyamar sebagai pemandu teksi. Jens Stoltenberg berkata, beliau mahu mendengar sendiri permasalahan daripada pengundi Norwegian berkaitan pengangkutan awam di sana. Perdana Menteri Norway berkenaan memakai pakaian seragam pemandu teksi Oslo dan hanya mendedahkan identitinya setelah beliau dikenalpasti oleh penumpang. 

Mungkin ini adalah satu cara kempen beliau menjelang pemilihan semula Wakil Rakyat pada bulan September, tetapi kenapa ini semua tidak boleh dipraktikkan di Malaysia? Bolehkah anda bayangkan elitis PM Najib Razak atau Anwar Ibrahim yang kononnya berhati Rakyat atau Lim Kit Siang yang perasan bagus melakukan sesuatu seperti ini? Haji Hadi pula tolak tepilah kerana beliau tidak mempunyai rupa sebagai pemandu teksi. 

Mungkin nada CTS berbentuk sinis, namun pernahkah kita terfikir adakah Wakil Rakyat kita, Pak-Pak Menteri dan Timbalan Menteri betul-betul memahami denyut nadi dan susah payah Rakyat, sedangkan mereka saban hari diiringi oleh pegawai trafik dan kaki ampu sana ampu sini? Mungkin sebagai Rakyat Malaysia, CTS terlalu berimaginasi tinggi untuk melihat wakil-wakil Rakyat kita yang saban hari mulut tidak lekang dengan perkataan Rakyat, melakukan ini semua. Lihat saja gambar di bawah, ingatkan Sultan mana yang berpayung. Rupanya MP Kota Tinggi!!! Jadi MP pun dah tak boleh berpanas dah?

August 11, 2013

23 Tahniah Ustaz Dr Zaharuddin Kerana Melangsungkan Perkahwinan Buat Kali Kedua



CTS ucapkan selamat mendirikan rumahtangga buat tokoh agama terkenal, Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman, seorang penceramah ternama dan terkenal dengan ruangan blog beliau, zaharuddin.net, yang melangsungkan ijab kabul buat kali kedua. Khabarnya isteri pertama beliau yang tolong carikan calon isteri buat beliau. 

Bekas Mufti Perlis, Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin, turut tidak ketinggalan untuk mengucapkan tahniah di dalam laman sosial Twitter beliau. Kita doakan kedua-dua perkahwinan Ustaz Dr Zaharuddin berkekalan sehingga ke akhir hayat. Diharap dapat jadi contoh buat isteri-isteri diluar sana, hehehe.

3 Gempaq!!! Nora Danish Beraya Di Rumah Bekas Mertua Bersama Jejaji Dan Fasha Sandha

Tabik spring CTS dengan kedua-dua artis, Nora Danish dan Fasha Sandha yang masih mempunyai hubungan yang baik walaupun salah seorang daripadanya tidak lagi memiliki jejaka idaman mereka, Jejai. Kehadiran Nora Danish ke rumah mertuanya di Ipoh, Perak patut diberi pujian. 

Ternyata tiada amarah dan dendam di hati. Malah kelihatan anak-anak mereka juga turut mesra di antara satu sama lain. Bertuah sungguh Jejai. Gambar-gambar di bawah sebagai bukti betapa eratnya perhubungan mereka.








4 Video Penghinaan Ke Atas Islam - Surau Dijadikan Tempat Sembahyang Penganut Buddha cc. DS @Zahid_Hamidi

Dimohonkan agar pihak yang berkuasa tempatan dan Kementerian Dalam Negeri menyiasat kejadian yang amat menghina umat Islam seperti video di bawah. Binaan seperti surau dijadikan tempat untuk penganut-penganut agama Buddha untuk bersembahyang. Di dalam "surau" berkenaan tergantung kalimah syahadah orang-orang Islam. Ukiran di cermin "surau" juga turut memaparkan seni khat kalimah ayat-ayat suci Al Quran. Kejadian berlaku di Tanjung Sutera Resort, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.


Maklumat awal kes surau dijadikan tempat ibadah penganut Buddha:

1. Lokasi surau adalah di Sutera Resort, Kampung Sedeli Besar, Kota Tinggi, Johor. Ianya adalah surau persendirian untuk pengunjung dan pelancong solat. 

2. Pemilik surau adalah Syed Ahmad Alkaf, seorang warganegara Singapura dan mempunyai PR Malaysia.

3. Kejadian bermula Hari Jumaat, 2 syawal, di mana sekumpulan Buddha masuk surau pada petang Jumaat dan diminta keluar pada Hari Sabtu jam 12.30 tengahari.

4. Kejadian disedari oleh orang-orang kampung yang melihat beberapa orang pelancong Buddha warga Singapura mengadakan upacara sembahyang di situ. Pada hari sabtu lebih kurang jam 12.30 tengahari (3 Syawal) Pegawai Pejabat Agama Kota Tinggi bersama orang-orang kampung telah ke surau tersebut dan menghalau pelancong Buddha tersebut dari surau tersebut. 

5. Berlaku sedikit ketegangan dengan pemilik resort apabila dia mempersoalkan kenapa orang-orang kampung membuat sibuk, sedangkan mereka di Singapura tidak tak ada masalah dengan perkongsian tempat beribadat. Akhirnya pemilik resort akur kerana mungkin takut dengan orang-orang kampung.

6. Pelancong Buddha juga menyatakan mereka tidak tahu tempat ni adalah tempat solat orng-orang Islam dan mereka telah mendapat kebenaran dari pemilik resort. 

7. Tuan Hj Taufiq, Kadi Kota Tinggi telah menghubungi pemilik resort dan pemilik resort telah memohon maaf dan berjanji kes tidak berulang. 

8. Namun Pejabat Agama akan membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik resort kerana menyebabkan islam dipandang hina.

9. Jumlah pelancong Buddha lebih kurang 10 hingga 15 orang. Setelah mereka diminta keluar dari surau pada hari sabtu jam 12.30 tengahari, mereka bersalaman dengan orang-orang kampung dan memohon maaf sebab mereka tak tahu dan telah mendapat kebenaran dari pemilik resort.
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates