September 17, 2010

23 ADUN Taman Medan Bercakap Menggunakan Kepala Lutut!

Biadap, kurang ajar dan tidak bertimbang rasa! Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut saya apabila membaca kenyataan daripada Timbalan Speaker DUN Selangor yang juga ADUN Taman Medan, Haniza Mohamed Talha mengenai kes yang menjadi bualan ramai semenjak akhir Ramadhan yang lepas, pembunuhan kejam Sosilawati dan 3 yang lain.

Beliau antara lain mempertikaikan kenapa individu berpersonaliti terkenal seperti Sosilawati dipercepatkan proses siasatan sedangkan pihak polis sebelum itu sengaja melambatkan proses siasatan terhadap kes-kes kehilangan individu lain yang dipercayai menjadi mangsa bunuh suspek utama yang juga peguam yang menyamar Datuk. Persoalannya, apakah Haniza mempunyai bukti kukuh bahawa pihak polis sengaja melambat-lambatkan proses siasatan kes-kes orang hilang sebelum ini seperti yang didakwanya?

Bagi penulis, sekiranya Haniza tidak dapat bersimpati kepada keempat-empat mangsa pembunuhan kejam tersebut, beliau sepatutnya berdiam diri dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menguris hati keluarga dan sahabat handai mangsa-mangsa berkenaan. Tambahan lagi, kenyataan pedih ini dikeluarkan selepas beliau menghadiri majlis tahlil di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak. Adakah beliau ikhlas menghadiri majlis berkenaan atau kehadirannya sekadar "political gimmick"?

Apakah pula reaksi beliau sekiranya perkara sebegini berlaku ke atas diri dan keluarganya? Bagaimana pula sekiranya beliau telah ditangkap, dirogol, disembelih, dipotong beberapa bahagian dan mayatnya dibakar dan abunya dibuang. Adakah pihak polis tidak perlu melakukan siasatan kerana kes beliau akan diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi kerana beliau seorang ADUN? Lain kali Haniza, sebagai Wakil Rakyat, sila gunakan otak anda untuk bercakap dan bukan menggunakan kepala lutut.

2 Apabila Zaid Ibrahim Sudah Pandai Perli Anwar & Azizah

Dato Zaid Ibrahim memang terkenal dengan cakap lepas. Dalam bahasa Utara dipanggil mulut tak dak insuran. Ketika bersama dengan UMNO, beliau kerap mengkritik kepimpinan parti itu sehinggakan ramai yang tidak terkejut apabila beliau meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR. Sikapnya yang lepas cakap seringkali mengundang masalah dan kontroversi buat dirinya.

Sekarang di dalam PKR, beliau sudah menampakkan tanda-tanda yang sama. Di awal penyertaannya ke dalam parti PKR, beliau telah dianggap hero dan pembela. Nasibnya sudah mulai muram apabila beliau dengan tidak sabar menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, jawatan nombor 2 tertinggi parti. Sejak dari saat itu, gelaran hero dan pembela sudah hilang. Beliau kini dianggap pembelot dan musuh di dalam selimut di kalangan penyokong dan pemimpin PKR. Ini gara-gara hasrat beliau untuk bertanding melawan orang kesayangan DS Anwar Ibrahim, Azmin Ali, seorang yang sudah masak dengan politik parti dan telah lama merasa pahit getir di dalam perjuangan PKR. Zaid Ibrahim sekarang boleh diibarat kan sebagai "from hero to zero".

Posting-posting di dalam blog Zaid Ibrahim, Zaid Untuk Rakyat mula menampakkan sikap memberontak yang ada di dalam dirinya. Di dalam posting yang terbaru bertajuk "Siapakah 'Musuh Parti' Dalam PKR", beliau menulis,
Saya tidak perlu dibiayai oleh Soh Chee Wen ataupun orang lain. Lagipun jawatan Timbalan itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor Dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada lah banyak kuasa sangat. Apa lagi dalam Keadilan, Nombor Satu pun tak ada kuasa seperti Ketua Umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi. Jadi, saya tidak faham riuh-rendah pasal jawatan Nombor Dua ini.

Pada pandangan penulis, ini yang cuba disampaikan oleh Zaid Ibrahim melalui tulisannya di atas:

1. Jawatan Timbalan Presiden PKR yang sekarang disandang oleh Syed Hussin Ali hanyalah boneka semata-mata dan tidak boleh membuat keputusan penting di dalam parti. Azmin Ali bertanding untuk jawatan tersebut hanya sebagai batu loncatan bagi membolehkan beliau diangkat menjadi Presiden sekiranya Anwar Ibrahim didapati bersalah kerana meliwat dan dipenjarakan manakala Wan Azizah sudah tidak berminat di dalam teraju kepimpinan PKR.

2. Wan Azizah hanyalah sebai boneka atau ikon yang digunakan oleh ahli-ahli parti di atas kapasitinya sebagai isteri DS Anwar. Perlu diingatkan, PKR diwujudkan untuk Anwar Ibrahim dan prinsip dan arah tuju perjuangannya tidak pernah berubah. Wan Azizah tidak pernah "wujud" di dalam setiap keputusan penting yang dibuat di dalam parti. Semuanya dilakukan oleh pemilik parti PKR, Anwar Ibrahim.

3. Mana ada satu parti di dalam dunia ini yang mana Ketua Umumnya yang tidak berparti mempunyai kuasa yang lebih tinggi dari Presiden? Saya difahamkan oleh sumber dalaman PKR, Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding di dalam mana-mana posisi memandangkan beliau bukan ahli parti. Bagi saya buat apa jadi ahli parti dan bertanding di dalam mana-mana jawatan sedangkan jawatan Ketua Umum PKR yang tidak boleh ditandingi dan tiada di dalam perlembagaan parti mempunyai kuasa mutlak yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun.

PKR sering menyalahkan UMNO yang tidak demokratik di dalam pemilihan parti. Adakah PKR mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi yang mereka dendangkan di dalam ceramah-ceramah mereka? Bagaimana pula nasib Zaid Ibrahim selepas ini yang bakal disingkirkan dan disisihkan oleh pimpinan PKR sekiranya beliau kalah dalam pemilihan Timbalan Presiden. Apakah beliau akan menyertai parti PAS sebagai wadah perjuangan berikutnya. Hanya masa yang akan menentukannya.

September 14, 2010

10 Polimik PERKASA & UMNO

Dari awal penubuhannya sehingga kini, maaf cakap, apa yang saya nampak PERKASA hanya mengejar nama dan glamour. Peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ini hanya setakat mengugut sana dan mengugut sini. Sesekali mereka akan mengeluarkan kenyataan yang kekadang boleh memalukan orang-orang Melayu itu sendiri. Saya pernah menulis di ruangan sosial Twitter, sekiranya PERKASA inginkan glamour, ceburi dunia hiburan dan sekiranya mereka ingin aktif berpolitik, daftarkan sebagai parti politik dan berjuang sewajarnya. Janganlah sekadar membaling batu sembunyi tangan.

Tun Dr Mahathir berkata UMNO perlukan PERKASA untuk mendapat sokongan orang-orang Melayu. Bagi saya PERKASA boleh berdiri sebagaimana mereka pada hari ini adalah disebabkan UMNO sejak zaman pemerintahan Tun Abdullah sehingga sekarang dilihat gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Bagaimana PERKASA yang baru dua tahun penubuhannya dikatakan diperlukan UMNO? Bukankah dalam PERKASA, kebanyakan ahlinya adalah ahli UMNO. Siapa yang memerlukan siapa? UMNO memerlukan PERKASA atau PERKASA memerlukan UMNO untuk survival politik? Bagi saya kedua-duanya saling bergantungan untuk survival dan mempertahankan hak orang Melayu. Tetapi janganlah PERKASA mendabik dada mengugut sana sini mengatakan mereka adalah kuasa penentu di dalam PRU akan datang. Apakah PERKASA ingin bersifat "gedebe" dan keras kepada seperti pertubuhan India HINDRAF dan pertubuhan Cina Dong Jiao Zhong, Suqiu dan Hua Zhou?

Saya tidak nampak apa yang hebatnya Presiden PERKASA. Cakap-cakapnya seperti amanat kepada ahli-ahlinya. Siapa Dato' Ibrahim Ali? Bukankah beliau dahulu pernah menganggotai BERJASA? Bukankah beliau pernah meninggalkan UMNO dan menyertai Semangat 46? Bukankah orang ini pernah keluar masuk UMNO? Bukankah beliau pernah bertanding di Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS untuk menentang UMNO? Bukankah orang yang sama menikam parti PAS dari belakang, parti yang memberikan beliau peluang kedua untuk bertanding di dalam PRU12? Bukankah orang ini pernah memuji Dato' Nik Aziz, kemudiannya memperlekehkan MB Kelantan itu dan bukankah orang ini juga satu ketika menghina DS Anwar Ibrahim, kemudiannya ingin bersama DS Anwar dan kini kembali menyerang DS Anwar? Bukan menjadi asing lagi di kalangan penulis-penulis maya politik mengelarkannya sebagai Raja Katak. Orang sebeginikah yang orang-orang Melayu bergantung harapan dan masa depan mereka?

Kenyataan Presiden PERKASA, Dato' Ibrahim Ali yang mengaku akan membuat kejutan di dalam PRU nanti sebenarnya bukan satu kejutan. Terkejutkah kita jika Raja Katak Pasir Mas ini mengistiharkan untuk menubuhkan parti baru? Ini memandangkan PAS pasti mati hidup semula tidak akan memberikan peluang untuk beliau bertanding atas tiket PAS di dalam PRU yang akan datang. UMNO pula sejak akhir-akhir ini sudah kelihatan menjauhkan diri dari PERKASA terutama Dato' Ibrahim Ali yang kerap mengeluarkan kenyataan yang tidak menguntungkan UMNO dan BN. Apakah pengikut-pengikut dan ahli-ahli PERKASA yang rata-ratanya ahli UMNO akan turut menganggotai parti baru sekiranya Presiden mereka berhasrat untuk menubuhkan parti baru? Hanya masa yang akan menentukannya.

Tulisan saya kali ini bukan berniat hendak memperkecilkan kewujudan NGO PERKASA. Saya masih menghormati peranan yang dimainkan oleh mereka di dalam memperjuangkan hak-hak orang-orang Melayu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Tambahan lagi, PERKASA telah mendapat sokongan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir. Tanpa sokongan Tun, PERKASA hanyalah merupakan satu nama biasa dan Dato' Ibrahim Ali kekal sebagaimana yang kita kenali. Tidak lebih dan tidak kurang.
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates