December 19, 2009

10 Ucaptama Jenaka Dan Pembohongan Guan Eng Dalam Kovensyen Pakatan Haram

Saya mengikuti dengan penuh minat Konvensyen Pakatan Haram yang diadakan di Shah Alam yang berlangsung sehari, hari ini. Mari kita ikuti sedutan ucaptama Lim Guan Eng di dalam konvensyen tersebut dan anda nilaikan sendiri:
Tsunami politik 8 hb Mac 2008 mengubah lanskap politik Negara tetapi kita sebenarnya dirompak. Kalau tidak kerana ketidakbebasan dan ketidakadilan SPR, kita sudah menjadi kerajaan bukan sahaja di 5 negeri malah di Putrajaya juga. Dato Seri Anwar sebenarnya dirompak jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Lihatlah bagaimana SPRM diperalatkan untuk menganiayai PR sehingga kerajaan negeri Perak dijatuhkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin seorang Menteri Besar Perak dipilih rakyat diguling dan aktivis demokrasi Teoh Beng Hock dibunuh dengan kejam sekali. Saya ingin meningatkan pihak bertanggungjawab kita tidak akan lupakan kamu kerana tiada maaf bagimu. Kita perlu tabah hati menghadapi cabaran yang begitu pahit sekali.
Soalan saya mengenai sedutan di atas yang pastinya telah membuatkan 1,500 perwakilan konvensyen berkenaan ternganga sehingga melelehkan air liur basi:

1. Sejak bila pula Pak Syeih Anwar Al Juburi dinafikan hak dan dirompak jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia? Bukankah beliau gagal di dalam usahanya untuk memancing ahli parlimen dan membentuk kerajaan pintu belakang. Bukankah beliau yang pernah berkata, "We have the numbers!"

2. Sekiranya SPR tidak telus, tidak bebas dan tidak adil, kenapakah mereka membiarkan 5 negeri terlepas kepada Pakatan Haram? Bukankah lebih baik SPR mengusahakan agar tidak ada satu negeripun yang terlepas kepada Pakatan Haram?

3. "Aktivis demokrasi Teoh Beng Hock dibunuh dengan kejam sekali"? Sudah tamatkah inkues yang dijalankan? Sudah keluarkah keputusan mengenai kematian TBH? Bukankah ini boleh ditakrifkan sebagai menghina inkues?

4. Nizar "The Puppet" Jamaluddin Menteri Besar dipilih oleh rakyat? Sejak bila pula sistem pilihanraya di negara ini memberi hak kepada rakyat untuk memilih Menteri Besarnya? Bukankah Menteri Besar dilantik oleh DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah? Bahkan jawatan Dato' Seri yang disandangnya juga dianugerahkan oleh Paduka Tuanku. Bengap betul Guan Eng ini.

Pengumuman penting:

Jangan lupa Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Malam ini bermula 6.00 petang di Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Sallehuddin akan diadakan ceramah perdana oleh Tokoh Maal Hijrah, Dr Yussoff Qardawi. Ucaptama ceramah perdana akan disempurnakan oleh DS Anwar Ibrahim. Mungkin DS Anwar akan di dalam ucaptamanya akan menasihatkan orang ramai supaya menjauhi zina terutama dengan isteri orang yang juga isteri rakan baik sendiri. Mungkin juga beliau akan menasihatkan kita supaya menjauhi hubungan biseksual, hubungan rambang di antara sesama jantina, lelaki dengan lelaki. Kalau kita bernasib baik mungkin DS Anwar akan bersumpah di hadapan ulama terkenal, Dr Yusoff Qardawi bahawa beliau tidak pernah meliwat Saiful Bukhari Azlan. Datanglah beramai-ramai memberikan sokongan.

3 Penjenamaan Baru Bagi "Inter Faith Commission (IFC)"

Pakatan Haram di dalam "Konvensyen Pakatan Rakyat" yang berlansung sehari di Shah Alam bersetuju untuk mengadakan Suruhanjaya Di Raja atau "Royal Commission" untuk mengendalikan dan menguruskan masalah-masalah berkaitan dengan Agama di Malaysia.

Nampak gayanya sekali lagi Agama Islam menjadi taruhan mainan poilitk Pakatan Haram ini. Suruhanjaya Di Raja ini tidak langsung berbeza dengan "Inter Faith Commission (IFC)" yang dijalankan oleh Malaysian Consultative Council Of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) semenjak tahun 2001, yang mana pertubuhan ini telah mendapat bantahan keras daripada umat-umat Islam termasuk PAS, rakan sekutu Pakatan Haram kerana berhasrat untuk menyamaratakan semua agama di Malaysia.

Adakah Suruhanjaya Di Raja yang bakal dicadangkan penubuhan ini mempunyai kuasa melebihi Mahkamah Syariah? Majlis Agama Negeri? Sultan waima sekalipun sebagai Ketua Agama? Apakah bentuk kesamarataan agama yang mereka hendak bentuk sekiranya mereka berjaya mengambilalih Putrajaya? Apakah Agama Islam akan terpinggir seperti negara-negara lain sekiranya Pakatan Haram diberikan peluang memerintah?

Apa jaminan yang boleh rakyat Malaysia terutama umat-umat Islam di Malaysia perolehi daripada Pakatan Haram untuk menjaga Agama Islam sebagai Agama Rasmi Malaysia sekiranya mereka memerintah kelak, Nauzubillah hi minzalik. Nampak gayanya PAS yang kononnya sebagai parti Islam telah berlembut dan bertolak ansur di dalam mengadaikan prinsip perjuangan Islamnya demi sedikit kuasa yang diperolehi. Seperti janji Presiden PAS di dalam ucaptama konvensyen,
“PAS ingin membuktikan kita boleh bersepakat, kami akan setia dalam Pakatan Rakyat sebagaimana ditekankan dalam Islam.”

1 Akhirnya Kelab Penyokong Pas Berstatus Dewan Orang Ramai

Penulis ingin mengucapkan tahniah kepada pimpinan PAS kerana berjaya mempergunakan Kelab Penyokong PAS yang terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban yang ditubuhkan pada tahun 2004. Tindakan terbaru parti PAS ini dilihat lebih bijak memanupulasi pengundi-pengundi bukan Melayu untuk menyokong parti itu berbanding UMNO.

PAS yang selama ini didesak oleh penyokong-penyokongnya yang terdiri daripada bukan Islam telah memperlihatkan sikap kelentongnya dengan meluluskan perlembagaan khusus bagi sayap baru yang mana Kelab Penyokong PAS akan dikenali Dewan Himpunan Penyokong PAS mulai tahun depan.

Tindakan ini memperlihatkan usaha terdesak PAS yang bersifat kosmetik untuk mengaburi mata penyokong-penyokong bukan Islamnya dan menjaga hati yang ahli-ahli yang sedia ada. Ini kerana kehadiran penyokong bukan Islam dalam bentuk “dewan” hanya akan membolehkan mereka menjadi pemerhati khas dalam muktamar sahaja. Dewan berkenaan tidak ada kuasa untuk mengundi dalam muktamar peringkat pusat dan negeri. Nama saja bertukar, fungsi masih sama.

Alasan yang diberikan oleh PAS kenapa Dewan berkenaan tidak diberikan hak mengundi adalah peruntukan itu memerlukan pindaan pada perlembagaan induk parti yang kelulusan Pendaftar Pertubuhan juga akan mengambil masa yang lama. Agak dangkal melihat alasan yang diberikan kerana rakyat tahu perlembagaan UMNO baru sahaja diubah dalam Perhimpunan Agong baru-baru ini dan ianya tidak mengambil kelulusan yang lama dari Pendaftar Pertubuhan.

Apapun, tindakan penipuan PAS ini layak dipuji. Dewan Himpunan Penyokong PAS hanyalah tidak lebih dan tidak kurang seperti Dewan Orang Ramai. Orang datang dan pergi, makan, minum dan buang air dan kemudian balik. Tahniah PAS!

December 16, 2009

11 Apabila TG Nik Aziz Berusaha Menjadi Malaikat

Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS merangkap mertua kepada Ariffahmi Ab Razak, yang masih lagi memegang jawatan sebagai ketua pengarah eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), ketika diwawancara oleh Malaysiakini, tetap menafikan beliau bersalah di dalam kontroversi panjang yang melanda syarikat berkaitan kerajaan itu susulan tindakannya melantikAlmenantunya itu.

Di dalam wawancara berkenaan (video temuramah dapat dilihat di sini), beliau mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak tahu-menahu bahawa tindakannya melantik menantu sendiri menerajui PMBK melanggar peruntukan undang-undang. Jadi siapa yang patut dipersalahkan. Mahu tidak mahu, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan yang menjadi kambing hitamnya. Seperti kata-kata beliau di dalam temu bual berkenaan:
"Waktu saya lantik menantu saya, saya tidak tahu barang tidak boleh. (Saya) lantik dalam mesyuarat penuh. Ada penasihat undang-undang negeri (LA). Saya sebut dalam kertas, menantu saya (dilantik). LA senyap. Saya kata, sahlah."
Kalau sudah Menteri Besar sendiri melalui persidangan meja bulatnya (mesyuarat yang menurut Nik Amalina, anak perempuannya, diadakan bersama keluarga sewaktu makan), telah menetapkan beliau mahukan Almenantunya sebagai ketua pegawai eksekutif, siapa lah penasihat undang-undang untuk menegurnya. TG Nik Aziz dilaporkan oleh The Malaysian Insiders sebagai berkata:
“Mana boleh manusia ini buruk 100 peratus dan baik 100 peratus. Yang baik 100 peratus itu adalah malaikat, dan buruk 100 peratus itu adalah syaitan. Saya (kalau boleh) berusaha nak jadi malaikat."
Tingginya tahap Mursyidul Am PAS. Rasulullah SAW yang maksum (dijanjikan Allah tidak melakukan sebarang dosa) sekalipun tidak pernah melahirkan hasrat untuk berusaha menjadi malaikat melalui hadis-hadis sahih maupun hadis daif. Mungkin tahap Mursyidul Am ini terlalu tinggi yang memungkinkan penasihat undang-undang negeri tidak mampu berkata apa-apa apabila TG Nik Aziz mengungkapkan hasratnya untuk melantik AlMenantunya sebagai ketua pegawai eksekutif PMBK. Saya rasalah kot!

December 14, 2009

30 PAS Lancar Kempen "UMNO Pengkianat Rakyat"? Kita Hendak Gelakkah?

Tersenyum saya apabila parti PAS semakin hari semakin tidak relevan di pentas politik tanahair. Entah apa yang mereka sumbangkan kepada negara pun saya tak tahu. Setiap hari hanya kedengaran gimik-gimik politik murahan mereka dijaja di sini sana bertujuan untuk menjadikan mereka sentiasa mendapat perhatian, walapun kita sebagai rakyat marhaen disajikan dengan politik-politik murahan.

Terbaru, ketua penerangan PAS Idris Ahmad, telah mengumumkan PAS akan melaksanakan Program 'Umno Pengkhianat Rakyat', yang akan dilancarkan 9 Januari ini. Program ini kononya akan mendedahkan tindakan Umno terhadap orang Islam dan Melayu di negara ini. Apa-apa sahaja puak-puak ini. Bagi saya, strategi kempen "UMNO Pengkianat Rakyat" bakal mengundang bahana kepada parti PAS itu sendiri. Buruk sangatkah UMNO? Pengkianat sangatkah UMNO? Selama ini rakyat hidup menderita sangatkah di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO kah berbanding Thailand, Indonesia dan Myanmar? Tidak adakah jasa UMNO kepada negara dan rakyatnya?

Saya tidak mahu mengulas isu ekonomi makro dan mikro walaupun saya mempunyai kelulusan yang tinggi untuk mengulasnya. Saya tidak mahu bercakap soal statistik, soal perakaunan dan sewaktu dengannya kerana saya mahu bercakap bahasa orang kampung. Saya mahu bercakap bahasa Haji Ismail dan Pak Mat yang berbual di kedai-kedai kopi. Analoginya cukup mudah:
  • Kalau Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat dan ADUN Melor, Wan Ismail Wan Jusoh muntah darah dan perlukan rawatan, hospital PAS ke yang dicarinya atau hospital yang dibina oleh kerajaan? Kenapa Wan Ismail memerlukan rawatan di Hospital Selayang? Bukankah UMNO itu pengkianat rakyat? Kalau UMNO pengkianat, maka segala hasil dan usaha yang UMNO lakukan HARAM digunakan oleh puak-puak PAS. Kalau boleh menerima tuntutan saman fasakh dari bekas isteri berjumlah berjuta-juta, kenapa tidak pergi ke hospital swasta sahaja, Tuan Haji?
  • Berapa banyak anak-anak orang PAS yang bersekolah di sekolah Agama Rakyat PAS berbanding sekolah-sekolah bantuan kerajaan? Apa anak-anak orang PAS yang bijak pandai memaki dan memfitnah kerajaan selepas dibekalkan dengan segulung diploma atau ijazah tidak belajar di sekolah bantuan kerajaan dan mendapat bantuan pinjaman dan biasiswa kerajaan? Kenapakah puak-puak ini seperti susu diberi, jari digigitnya dan diibaratkan kita melepas anjing-anjing ini dari jerat, kita pula hendak digigitnya.
  • Orang-orang PAS, tok-tok guru dan tok-tok alim yang pergi menunaikan Haji dan menyimpan di Tabung Haji, tahukah kamu siapakah yang menubuhkannya. Orang-orang PAS kah? Adakah orang-orang PAS tidak gunakah perkhidmatan Tabung Haji yang diusahakan oleh Kerajaan di bawah pimpinan UMNO?
  • Sistem Takaful, kewangan dan perbankan Islam yang membolehkan umat Islam bermuamalat secara Islam dan tanpa was-was tu, siapa yang usahakan? Bank Islam, Takaful, Dinar Emas, Pajak Gadai Islam, Sistem Pasaran Islam tu orang-orang PAS yang usahakan ka?
  • Puak-puak PAS pergi ke pasaraya-pasaraya kecil dan besar, sebelum membeli sesuatu barang, apa yang dahulu dibeleknya? Bukankah tanda halal JAKIM? JAKIM tu siapa yang tubuhkan? Puak-puak fanatik PAS jugakkah?
  • Masjid-masjid yang dibina di seluruh negara supaya umat Islam boleh beribadah dan pihak PAS boleh memaki hamun dan memfitnah kerajaan tu, berapa banyak PAS yang dirikan? Kerajaan PAS yang memerintah Kelantan selama 19 tahun pun tidak pernah membina satupun masjid melainkan taksub dengan pembinaan kuil dan berhala-berhala yang terbesar, baik duduk, berdiri atau tidur.
Saya sering kali bertempur dengan fanatik-fanatik PAS di Facebook. Setakat rencana ini ditulis, mereka masih tidak dapat menjawab satu-satunya soalan yang sering saya kemukakan kepada mereka. Kebanyakan dari mereka hanya berdolak dalik. Hari ini, sebagai menyambut kempen "UMNO Pengkianat Rakyat" yang dilancarkan oleh PAS, di bawah ini saya kemukakan soalan yang tidak pernah terjawab oleh puak-puak PAS:
Apakah yang PAS lakukan untuk meningkatkan syariat Islam di Malaysia? Selain dari menjual ayat-ayat Al Quran dengan harga yang murah, apakah yang telah PAS lakukan untuk mengembangkan syiar Islam, sesuai dengan nama partinya sebagai nama Islam? Jangan berdolak dalik, berikan saya fakta mengenai soalan di atas dan bukannya merapu raban dan maki hamun.
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates