November 20, 2009

12 Adakah Khalid Samad Mahu Menderhaka Kepada Sultan Selangor?

Tidak habis-habis dengan cerita peribadi Ahli Parlimen Shah Alam yang seorang ini, YB Khalid Samad yang terkenal di kalangan bloggers sebagai Khalid Gereja, kerana usahanya untuk mempertabatkan nama Allah di gereja. Daripada isu ingin membina kuil Hindu terbesar di Selangor iaitu di kawasan majoriti Melayu di Seksyen 23 sehinggalah kepada tuduhan bahawa UMNO mendalangi isu kepala lembu. Isu terbaru bila mana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menarik balik tauliah yang diberikan kepadanya untuk mengajar dan memberi ceramah di masjid-masjid.

Beliau kelihatan tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan merasakan dirinya begitu arif untuk mengajar penduduk-penduduk di Shah Alam mengenai bidang agama telah berusaha mengumpulkan tandatangan penduduk-penduduk bagi menghalalkan tindakan ceramahnya itu. Mohd Jamil Abd Rahim, seorang pegawai khas Khalid yang juga ahli kariah di Bukit Subang, sedang berusaha mendapatkan tandatangan penduduk Shah Alam dan dijangka diserahkan kepada JAIS dalam masa terdekat bersama satu memorandum bantahan. Lebih 650 ahli kariah di Shah Alam diberitakan telah menurunkan tandatangan, membantah tindakan JAIS yang tidak memberikan tauliah mengajar agama kepada Khalid.

Saya menyarankan agar Khalid Samad menumpukan sahaja kepada pembangunan material dan insaniah di kawasan parlimennya, Shah Alam. Semenjak beliau memegang amanah sebagai Ahli Parlimen, saya tidak nampak sebarang usaha untuk membangunkan atau menaik tarafkan ekonomi dan sosial penduduknya. Beliau sibuk dengan aktiviti ceramahnya dan tidak lupa dengan usaha pembinaan kuil Hindunya. Saya berpendapat eloklah ceramah diberikan kepada orang yang arif. Saya rasa YB tidakpun mempunyai sebarang kelulusan rasmi dalam bidang Agama untuk mengajar. Bab masjid serahkan saja kepada orang yang arif tentang masjid, jangan pula YB yang hendak sibuk-sibuk.

Bukankah sebarang keputusan untuk melantik dan menggugurkan siapa yang layak berceramah di Selangor memerlukan kelulusan daripada DYMM Sultan Selangor sebagai payung Ketua Agama di Selangor. Hormatlah sedikit kepada Sultan kami. Kalau rasa-rasa hendak tunjuk kurang ajar dengan arahan Tuanku, kami sebahagian besar penduduk-penduduk Shah Alam boleh menunjukkan jalan keluar buat YB untuk pulang ke Johor, negeri asalmu.

November 19, 2009

7 TG Nik Aziz Sebagai Mudalilul Am?

Akhbar Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab dengan kekeliruan dan semaraknya perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan berhubung agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah, 64, berkata, sudah sampai masa baginya membuat teguran secara terbuka, biar pun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur. Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan mentafsirkan Al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

“Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am tapi Mudalilul Am (Penyesat Umum). Beliau orang yang sesat, itu hakikatnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pondoknya di Tumpat.

Sebagai guru agama pondok, Tuan Haji Abdullah Sa'amah tentunya amat arif dengan segala kekeliruan yang telah dituturkan oleh TG Nik Aziz selama ini. Marilah sama-sama kita sorot kembali sebahagian omongan yang pernah beliau ucapkan di akhbar-akbar:
“Jika Nabi Muhammad boleh menandatangani perjanjian dengan musuh tradisi Islam, iaitu kaum Yahudi, sebaik tiba di Madinah, PAS juga sanggup bekerjasama dengan DAP.” – Berita Harian, 12 Mei 1999.

“Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka,” – Ucapan Nik Aziz Nik Mat kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 17 Ogos 2009 selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.


"PAS Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan takapa ..." - Berita Harian, 25 Jun 1999.


"Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembangunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila minum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit darimana?" - Utusan Malaysia, 26 November 1994
.

"Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia dimana tempatnya." - Utusan Malaysia, 28 April 1999.

"Bukan sahaja dalam menifesto, dalam perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah negara Islam, dia (DAP) boleh tengok sendiri dan baca perlembagaan itu." - Utusan Malaysia, 4 Ogos 2001.


"Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA, dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima." - Utusan Malaysia, 24 Januari 1999.

November 18, 2009

10 Pemimpin Pakatan Haram Mursyid Sangatkah Sampai Tak Boleh Tegur?

Apabila YB Zulkifli Nordin yang terkenal dengan sifat keterbukaannya membela Islam, mengkritik DS Anwar "RM1" Ibrahim, ramai pemimpin-peminpin Pakatan Haram yang mendesak supaya beliau dikenakan tindakan disiplin. Apabila blogger upahan PAS, Syed Azidi "Kickdefella" mengkritik TG Nik Aziz dan menantu hantunya, Ariffahmi, beliau telah dipecat dari jawatannya.

Terbaharu, kritikan sinis dapat dibaca apabilaa Mat Sabu memberikan penghargaan kepada mereka yang mengkritik Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz, yang diheret ke dalam pertikaian tajaan ke Mekah. Sambil berseloroh Mat Sabu berkata, "bila ada tajaan, ada udang di sebalik mee ..." (sila lihat Merdeka Review, d sini). Apabila kritikan sinis ini dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, maka juak-juak pembodek yang terdiri daripada blogger upahan PAS mendesak agar Mat Sabu dikenakan tindakan disiplin oleh Jawatankuasa Disiplin PAS. Ini dapat dibaca melalui blog Penarik Beca, di sini.

Adakah pemimpin-pemimpin Pakatan Haram terlalu mursyid sehinggakan tidak boleh ditegur oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong mereka sendiri atau adakah pakatan ini akan sudah mengamalkan satu kuasa kuku besi. Kalau ahli dan penyokong sendiri tidak dibenarkan mengkritik pemimpin, bagaimana sekiranya mereka berkuasa nanti. Adakah rakyat akan dipenjarakan sekiranya mengkritik corak dan dasar kepimpinan mereka?

Seburuk-buruk UMNO, pernahkah kita mendengar laungan dari pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengenakan tindakan-tindakan disiplin ke atas ahli-ahlinya yang lantang mengkritik pemimpin-pemimpin kerajaan. Adakah blogger-blogger seperti A Voice dan BigDogDotCom dikenakan apa-apa tindakan disiplin kerana menjalankan amal makruf, nahi mungkar dan menjadi suara kepada rakyat dan ahli-ahli UMNO?
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates